Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB bimbang sikap alpa rakyat cetus gelombang keempat Covid-19

GOMBAK, 15 APRIL: Dato’ Menteri Besar bimbang sikap alpa rakyat terutama di negeri ini mencetuskan gelombang keempat perebakan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keterujaan orang ramai keluar membeli barangan sejak Ramadan sehingga mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) menyumbang kepada peningkatan kes.

“Saya sangat risau wujud kluster bazar Ramadan, jangan sampai menjadi punca tercetusnya gelombang Covid-19 yang akhirnya merugikan kita semua.

“Semoga perkara ini tidak berlaku, sebab itu saya gesa patuh SOP, Insya-Allah kita semua selamat,” katanya berucap pada Majlis Iftar Hijrah Selangor di Banquet Hall Al-Hijrah hari ini.

Semalam, Amirudin berkata pihaknya tidak teragak-agak membatalkan operasi bazar Ramadan jika orang ramai gagal mematuhi SOP.

Malaysia merekodkan sebanyak 2,148 kes baharu Covid-19 hari ini, tertinggi direkodkan sejak Mac.

Sarawak mencatatkan kes harian tertinggi dengan 512 kes diikuti Selangor (459) dan Kelantan (221).