Categories
PBT SELANGOR

MPS, KPDNHEP pantau pematuhan SOP bazar Ramadan Selayang

SHAH ALAM, 15 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan lawatan ke bazar Ramadan semalam.

Kunjungan ke Bazar Ramadan Bandar Baru Selayang bertujuan memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) serta semakan harga makanan.

“Lawatan ini bertujuan untuk pemeriksaan harga jualan dan memastikan pematuhan SOP semasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dipatuhi oleh pengunjung dan peniaga.

“Selain memastikan aspek kebersihan adalah terjamin dan mematuhi syarat permit perniagaan (bazar Ramadan),” katanya di Facebook.

MPS berkata lawatan itu disertai Yang Dipertua Ahmad Zahiri Zahid Sofian, ahli majlis Zon 10, wakil KPDNHEP Gombak, pengarah Jabatan Pelesenan serta Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan.