Categories
AGENDA NASIONAL

Penyertaan Afdlin, Altimet dalam KEADILAN luahan hati anak seni

AMPANG, 2 APRIL: Penyertaan pelakon Datuk Afdlin Shauki dan penyanyi Altimet dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menunjukkan mereka menyampaikan suara hati anak seni.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor berkata pengkarya, artis dan budayawan harus menyampaikan suara hati walau apa pun wadah yang disertai golongan berkenaan.

“Mereka juga tidak boleh berhenti berkarya kerana ia  lambang ketamadunan, kesenian adalah lambang kepada kemajuan dan perkembangan manusia. Ada dalam bentuk lagu, lukisan, drama tetapi apa yang disampaikan itu bukan terasing.

“Malam ini saya sangat gembira dalam ramai-ramai artis belum ada yang berani serta miliki kekuatan seperti saudara Afdlin dan Altimet untuk bersama kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo di sini malam tadi.

Beliau juga menegaskan penyertaan Afdlin dalam KEADILAN perlu dilihat dari sudut sebaliknya dan bukan sekadar pelawak.

“Bila ada ura-ura artis tersebut mahu menyertai kita pelbagai serangan diberikan…parti KEADILAN tak habis-habis ambil pelawak tetapi mereka tidak sedar Afdlin ini bukan pelawak tetapi dia seorang penerbit, penulis skrip dan pelakon yang serius,” katanya.

Pada majlis itu juga Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan kad keahlian kepada Afdlin dan Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.