Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tahan 550 ahli kongsi gelap sejak 2019

SHAH ALAM, 10 APRIL: Polis Selangor menahan 550 individu di atas pelbagai kesalahan berkaitan kongsi gelap melibatkan Geng 08, Geng 21, Geng 24 dan Geng 36, bagi tempoh 2019 hingga Mac tahun ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, antara jenayah yang dilakukan mereka meliputi kes seperti pergaduhan kerana perebutan kawasan penjualan dadah dan kawalan keselamatan, serta pemerasan ke atas premis-premis perniagaan.

“Selain itu, ia juga melibatkan 175 kes seperti bunuh, cubaan bunuh, merusuh, penggunaan senjata api, samun dan lain-lain jenayah kekerasan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Beliau berkata ahli kumpulan kongsi gelap yang ditahan terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an.

Dalam pada itu, Arjunaidi berkata polis sedang mengesan saki-baki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 Bukit Raja yang masih aktif melakukan jenayah serta giat merekrut ahli baharu termasuk pelajar sekolah dengan menawarkan antaranya perlindungan, kewangan, kuasa dan pengaruh.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa sekolah yang menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap terbabit, dalam merekrut ahlinya.

Katanya setakat ini, dilaporkan kumpulan terbabit mempunyai hampir 100 ahli berusia belasan hingga 50-an, di sekitar Lembah Klang.

“Kumpulan kongsi gelap ini memperoleh sumber kewangan dengan melakukan pemerasan, samun, menjaga kawasan termasuk pusat hiburan, rumah urut dan perjudian. Jika ada yang enggan mengikuti arahan, mereka akan membuat kacau termasuk mencederakan orang,” katanya.

Arjunaidi berkata sehingga kini, 50 ahli kongsi gelap Geng 24 Bukit Raja ditahan, dengan 19 individu telah dituduh di mahkamah, 20 ditahan di bawah Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan 11 lagi masih direman.

– BERNAMA