Categories
AGENSI SELANGOR

Sabak Bernam kekal sifar jangkitan Covid-19, Petaling tertinggi

SHAH ALAM, 11 APRIL: Sabak Bernam kekal daerah di negeri ini mencatatkan sifar kes jangkitan Covid-19 semalam.

Berdasarkan data dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Petaling rekodkan jangkitan tertinggi dengan 145 kes melibatkan mukim Petaling (69), Sungai Buloh (35), Damansara (33) dan Bukit Raja (lapan).

Agensi memaklumkan sebanyak 79 kes dikesan di Hulu Langat dengan Kajang (36), Cheras (19), Ampang (18) serta Semenyih (enam).

Diikuti 55 kes di Klang melibatkan mukim Klang (47) dan Kapar (lapan) manakala Sepang catat 40 kes iaitu Dengkil (32), mukim Sepang (lima) dan Labu (tiga).

“Kes di Kuala Langat meningkat ketara berbanding satu kes semalam selepas 36 kes direkodkan melibatkan Telok Panglima Garang (18), Tanjung 12 (12), Bandar (tiga), Kelanang (dua) dan Batu (satu),” katanya menerusi Facebook.

Agensi berkata 15 kes dilaporkan di Gombak melibatkan Hulu Kelang (tujuh), Batu (empat) dan Rawang serta Setapak (dua).

“Jumlah sama turut direkodkan di Kuala Selangor iaitu Ijok (enam), Jeram dan Api-api (empat) serta Bestari Jaya (satu),” katanya.

Semalam Selangor mencatatkan 415 jangkitan baharu Covid-19 termasuk tiga kes import selain tiga kematian membabitkan lelaki warga tempatan.