Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sasar 10,000 pemandu teksi, bas sekolah terima bantuan makanan

KUALA LANGAT, 8 APRIL: Kerajaan Negeri menyasarkan 10,000 pemandu teksi dan bas sekolah untuk menerima bantuan makanan tahun ini.

EXCO kesejahteraan bandar berkata setakat ini seramai 7,919 individu telah berdaftar dan sumbangan diagihkan secara berperingkat sehingga selesai menerusi 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) adalah PBT keempat untuk tujuan ini. Kerajaan Negeri mengalu-alukan lebih ramai mendaftar untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka dan dapat meringankan beban terutama ketika berdepan situasi wabak,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada pemandu teksi dan bas sekolah peringkat MPKL di Dewan Sri Jugra di sini hari ini.

Sumbangan secara pandu lalu turut diserahkan kepada 80 individu di daerah berkenaan.

Menerusi Pakej Kita Selangor diumum pada 20 Januari, sebanyak RM4.35 juta disediakan bagi menjayakan program Bakul Makanan untuk membantu golongan terjejas akibat wabak Covid-19.

Bantuan itu meliputi pemandu teksi dan bas, petugas barisan hadapan, penyewa PPR, warga tani dan pemandu lori KDEB Waste Management.

Fasa pertama agihan meliputi individu sekitar Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Klang dan MPKL.

Ia diikuti Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Fasa kedua membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Daerah Hulu Selangor.