Categories
AGENSI SELANGOR

Sasar inisiatif Smart Selangor siap 55 peratus menjelang Disember

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) yakin mampu membangunkan sekurang-kurangnya 55 peratus daripada 60 inisiatif Smart Selangor pada akhir tahun ini.

Pengarah perancangan strategiknya berkata program negeri pintar dan berdaya huni di peringkat Asean menjelang 2025 mencapai kemajuan 40 peratus sejak dilaksana tiga tahun lalu.

“Kita jangka boleh capai tahap itu kerana usaha membangunkan semua inisiatif yang dibukukan berjalan mengikut jadual,” kata Mazlan Mahadi pada Majlis Penganugerahan International Business Review Asean 2020 di sini malam tadi.

Mazlan Mahadi

Dalam majlis itu, SSDU merangkul anugerah penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam pembangunan negeri pintar oleh The IBR Asia Group.

Mazlan berkata pengiktirafan julung kali terbabit dicapai dengan sokongan dan kepercayaan Kerajaan Negeri terhadap organisasi berkenaan.

“Saya percaya pencapaian ini mampu memberi rangsangan kepada seluruh ahli SSDU untuk bekerja lebih keras dan bersama meningkatkan pembangunan teknologi serta digital di Selangor,” katanya.

Beroperasi pada Mei 2016, SSDU diberi mandat menerajui pembangunan program Smart Selangor di bawah 12 domain antaranya tadbir urus pintar, pengurusan sisa pintar dan pengurusan lalu lintas pintar.