Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide hulur bantuan kepada warga emas terlibat kebakaran

SHAH ALAM, 22 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyalur sumbangan wang tunai kepada seorang warga emas yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Pasir Baru, Semenyih.

Pengurus operasinya berkata bantuan diagih kelmarin turut meliputi barangan antaranya tuala, kain pelikat, sepasang baju harian, selimut dan kit pembersihan diri bagi meringankan beban Bukhari Amat Sani.

Md Arifin Jaafar memaklumkan sumbangan disampaikan kepada Nazir Masjid Jamek kampung terbabit, Mazalan Yusop bagi mewakili mangsa yang kini menetap di rumah anaknya di Rawang.

“Terima kasih kepada penyumbang yang menginfaq melalui tabung dana musibah Yide. Semoga bantuan anda dapat meringankan beban mereka memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kejadian berpunca dari pembakaran sampah bagi membersihkan halaman rumah oleh anak mangsa yang tinggal berhampiran.

“Kejadian mengakibatkan ruang dapur dan bilik simpanan atau stor di bahagian belakang rumah musnah,” katanya.