Categories
AGENSI SELANGOR

Yide bantu lima waris pesakit dialisis maut akibat Covid-19

SHAH ALAM, 3 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) semalam menyumbang sejumlah wang tunai dan barang keperluan asas kepada lima keluarga pesakit dialisis yang maut akibat Covid-19.

Pengurus operasi bahagian kebajikan dan publisitinya berkata sumbangan pelbagai pihak itu diserahkan kepada tiga waris yang tinggal di Klang manakala masing-masing satu di Tanjong Karang dan Sabak Bernam.

“Yide mengucapkan takziah kepada keluarga ini atas pemergian insan yang tersayang dan terima kasih semua penyumbang atas bantuan disalurkan,” kata Md Arifin Jaafar dalam kenyataan.

Beliau berkata yayasan tersebut mengalukan orang ramai menghulurkan sumbangan supaya lebih ramai kumpulan sasar dapat dibantu.

Menurutnya, proses itu boleh dibuat melalui platform digital https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau pindahan wang dalam talian di akaun Bank Islam Yide (12234010007330).

“Setiap sumbangan layak mendapat pelepasan cukai di bawah subseksyen 44(6) akta cukai pendapatan 1967 melalui resit rasmi Yide,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide hulur bantuan kepada warga emas terlibat kebakaran

SHAH ALAM, 22 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyalur sumbangan wang tunai kepada seorang warga emas yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Pasir Baru, Semenyih.

Pengurus operasinya berkata bantuan diagih kelmarin turut meliputi barangan antaranya tuala, kain pelikat, sepasang baju harian, selimut dan kit pembersihan diri bagi meringankan beban Bukhari Amat Sani.

Md Arifin Jaafar memaklumkan sumbangan disampaikan kepada Nazir Masjid Jamek kampung terbabit, Mazalan Yusop bagi mewakili mangsa yang kini menetap di rumah anaknya di Rawang.

“Terima kasih kepada penyumbang yang menginfaq melalui tabung dana musibah Yide. Semoga bantuan anda dapat meringankan beban mereka memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kejadian berpunca dari pembakaran sampah bagi membersihkan halaman rumah oleh anak mangsa yang tinggal berhampiran.

“Kejadian mengakibatkan ruang dapur dan bilik simpanan atau stor di bahagian belakang rumah musnah,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang keperluan asas, wang tunai bantu sekolah terjejas

SHAH ALAM, 9 JULAI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbang barang keperluan asas dan wang tunai kepada Sekolah Agama Menengah (SAM) Sungai Merab Luar, Kajang yang rosak akibat ribut.

“Kejadian ini menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian bumbung kantin, asrama lelaki dan perempuan termasuk pejabat sekolah dan bilik guru sehingga menyebabkan gangguan elektrik serta kebocoran,” kata Pengurus Operasi Yide Md Arifin Jaafar dalam kenyataan.

Md Arifin menyampaikan sumbangan terbabit ketika turun padang bagi melihat keadaan sekolah itu semalam.

Selain bangunan sekolah itu, dilaporkan 30 rumah di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang turut mengalami kerosakan teruk akibat ribut dan angin kencang pada Ahad lalu.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah atau malapetaka di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian khas Yide di 017-7569476.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa kebakaran terima bantuan Ad Hoc Yide

SHAH ALAM, 17 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbang barang keperluan asas dan wang tunai kepada sebuah keluarga yang ditimpa musibah kebakaran di Jalan SS5A/15 Kelana Jaya, kata pengurus operasinya.

Md Arifin Jaafar berkata sumbangan kecemasan itu disampaikan Yide pada Jumaat selepas menerima maklumat mengenai kejadian daripada ahli keluarga mangsa.

“Bantuan ini diberikan kepada mangsa bertepatan dengan salah satu fokus utama Yide membantu pihak ditimpa musibah khususnya di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, penghuni rumah Razali Abdul Ghani berkata kebakaran yang berlaku dengan pantas mengakibatkan hampir keseluruhan struktur kediamannya hangus terbakar.

Orang ramai boleh berkongsi maklumat sekiranya berlaku musibah di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian khidmat pelanggan Yide iaitu 017-7569476.