Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: 1,278 kes baharu di Selangor, tujuh kematian

SHAH ALAM, 9 MEI: Kes baharu Covid-19 di Selangor menurun hari ini namun kekal empat angka dengan 1,278 kes berbanding 1,722 yang dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri ini merekodkan angka harian tertinggi dalam negara iaitu 968 kes berpunca daripada saringan kontak rapat.

“Jumlah ini termasuk 84 kes kluster, tiga kes import dan 223 daripada lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan dua kluster baharu dikesan iaitu kluster Jalan Satu di Gombak dan kluster Lorong Tiung di Kuala Langat serta Klang masing-masing membabitkan tempat kerja.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tujuh kematian dilaporkan membabitkan tiga lelaki dan empat wanita warga tempatan berusia lingkungan 49 hingga 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) pula memaklumkan sebanyak 1,080 pesakit sembuh dicatatkan hari ini dengan keseluruhan pulih 138,172.

“Kes aktif yang sedang dirawat sebanyak 4,670 dengan 13 daripadanya membabitkan jangkitan luar negara,” katanya menerusi Facebook.

Keseluruhannya, Selangor merekodkan 143,270 kes positif dengan 428 maut ekoran wabak berkenaan.