Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih 50 peratus pesakit kritikal ada tekanan darah tinggi

SHAH ALAM, 21 MEI: Sebanyak 58.3 peratus pesakit Covid-19 yang dirujuk ke rawatan kritikal mempunyai sejarah penyakit tekanan darah tinggi.

Ketua pengarah kesihatan berkata data turut menunjukkan hampir separuh daripada kes tersebut memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Justeru, kawalan tekanan darah yang baik sangat penting terutama ketika pandemik Covid-19.

“Pesakit yang mempunyai komorbiditi termasuk kencing manis dan penyakit jantung lebih terdedah untuk mendapat kesan mudarat jika dijangkiti virus,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan sempena Hari Hipertensi Sedunia 2021 semalam, beliau berkata tekanan darah tinggi juga penyumbang utama penyakit kardiovaskular, strok, buah pinggang dan kematian pramatang.

Beliau berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati sebanyak 6.4 juta penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit itu.

“Ia amat membimbangkan berikutan 50 peratus daripadanya tidak mengetahui diri mereka menghidap penyakit tekanan darah tinggi,” kata Dr Noor Hisham.