Categories
AGENDA NASIONAL

ADN mohon maaf isu foto, beri kerjasama kepada polis

SHAH ALAM, 21 MEI: Wakil rakyat Tanjung Sepat memohon maaf susulan foto tular di media sosial yang memaparkan aktiviti ziarah di rumahnya di Kuala Langat ketika sambutan Aidilfitri.

Borhan Aman Shah dalam kenyataan hari ini turut mengakui kesilapan dan akan mengambil sepenuh tanggungjawab berhubung perkara tersebut.

“Saya dengan ini ingin menyatakan kekesalan yang mendalam atas perkara ini. Saya berjanji perkara seumpama ini tidak akan berulang.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada semua pihak di atas kesalahan ini. Saya mengakui kesilapan dan akan mengambil sepenuh tanggungjawab berhubung perkara ini,” katanya.

Borhan berkata pihaknya turut memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat semalam.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan bagi kes berkenaan.