Categories
ADN SELANGOR

DUN Sungai Ramal peruntuk RM25,000 untuk bantuan Aidilfitri

SHAH ALAM, 19 MEI: Lebih RM25,000 diperuntuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal bagi penyaluran bantuan keperluan asas sempena Aidilfitri.

Wakil rakyatnya berkata Program Bantuan Mega turut melibatkan sumbangan Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Mohd Bukhari Bachok, individu dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kami bersama atas satu cita-cita, minat, kemahuan, azam dan kecenderungan yang sama iaitu untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan, kesulitan serta kekurangan.

“Kebetulan pula dalam keadaan sektor ekonomi dan pekerjaan terkekang serta terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, jumlah rakyat yang perlu dibantu lebih ramai bilangannya pada tahun ini,” kata Mazwan Johar menerusi Facebook.

Beliau berkata walaupun berdepan cabaran dari segi penyediaan barangan, tapisan senarai penerima dan tenaga kerja namun kerjasama semua pihak telah menjayakan program tersebut.

“Saya merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua insan yang terlibat menjayakan program ini,” katanya.