Categories
AGENDA NASIONAL

Kaedah pandu lalu dorong lapan sekeluarga buat saringan percuma

KAJANG, 8 MEI: Kaedah pandu lalu yang digunakan Klinik Selcare pada program Saringan Komuniti Covid-19 mendorong seorang lelaki membawa lapan ahli keluarganya melakukan ujian itu hari ini.

Rosmezi Baharudin yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berkata beliau datang seawal 8.30 pagi bagi mengelak kesesakan susulan program yang diadakan ini percuma dan pastinya ramai pihak mengambil peluang.

Rosmezi Baharudin

“Ini adalah program yang terbaik dan belum ada lagi negeri lain yang melaksanakannya secara percuma kecuali Selangor,” katanya ketika ditemui di Dewan Cempaka, Saujana Impian di sini.

Mohamed Faris Mustapha

Muhamed Faris Mustapha pula memaklumkan situasi semasa dengan peningkatan kes mendadak mendorang beliau melakukan saringan berkenaan.

“Bukan semua golongan mampu membuat ujian saringan ini di klinik swasta jadi apa yang dilakukan ini adalah terbaik untuk kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Lim Boon Seng

Sementara itu di Dewan Orang Ramai Bandar Rinching Semenyih, Lim Boon Seng memaklumkan hanya mengetahui program saringan tersebut menerusi hebahan yang dilakukan melalui pembesar suara.

“Saya orang susah dan bukan semua orang dapat mengetahui maklumat penting seperti ini menerusi internet. Terima kasih kerana membantu golongan seperti saya daripada tidak terus ketinggalan,” katanya.

Niza Yusof

Niza Yusof pula memaklumkan beliau memanfaatkan program saringan ini bagi membawa anak yang masih bersekolah untuk memastikannya bebas Covid-19 susulan terdapat kes membabitkan institusi pendidikan.

“Ini adalah salah satu kaedah bagi memastikan rakyat selamat dan sudah pasti apa yang dilakukan Kerajaan Negeri adalah langkah yang baik serta menjalankan tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.