Categories
AGENDA NASIONAL

KKM jelaskan tiga keadaan kes mati BID akibat Covid-19 makin banyak

SHAH ALAM, 28 MEI: Selain terus mencipta rekod baharu kes positif Covid-19, kes jenazah dibawa ke hospital (BID) akibat jangkitan itu turut meningkat.

Rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Twitter menunjukkan sebanyak 95 kes BID dicatatkan antara 1 hingga 26 Mei. Angka harian tertinggi direkodkan pada 22 Mei dengan 10 kes.

KKM turut menjelaskan tiga senario kes yang dikongsikan Pakar Pediatrik Hospital Sungai Buloh
Dr Siti Sarah Aishah Suhaidi.

Berikut perincian kes:

1. Bergejala seperti demam dan batuk dan pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat. Tidak buat ujian saringan #COVID19. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.

2. Didapati positif Covid-19. Telah dilapor kepada KKM oleh klinik swasta. Ditemui meninggal di dunia di rumah sebelum dihantar ke pusat kuarantin atau hospital.

3. Hilang deria rasa dan sangat letih tapi tidak mengambil serius gejala-gejala ini. Hanya berehat di rumah. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.

Pada 25 Mei, ketua pengarah kesihatan berkata jumlah kes harian Covid-19 kini mengikut aliran pertumbuhan (eksponensial) yang dijangka.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan kenaikan dikesan sejak 1 April dan mampu mencetuskan lonjakan kes jika tidak dibendung.

Jumlah jangkitan harian Covid-19 terus meningkat kepada 8,290 kes, rekod tertinggi pernah dicatatkan sejak wabak melanda negara.

Sumber Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia