Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya tiga kematian semasa Covid-19 semalam

SHAH ALAM, 6 OKT: Hanya tiga kematian akibat Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam dengan kesemuanya membabitkan kes meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Tiga kes kematian itu dilaporkan di Pahang, Perak dan Terengganu, lapor Berita Harian.

Sepanjang tempoh sama sebanyak 114 kematian daripada kes tertunggak, menjadikan kumulatif korban Covid-19 di negara ini kini mencecah 26,876 kes.

Secara keseluruhannya, daripada jumlah angka korban di negara ini, sebanyak 5,398 kes BID atau pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan.

Berdasarkan data dikongsi Kementerian Kesihatan menerusi sesawang COVIDNOW, 135,945 kes masih aktif dengan 110,462 (81.3 peratus) daripada mereka menjalani kuarantin wajib di rumah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor rekod kematian tertinggi, 20 kes jenazah dibawa ke hospital

SHAH ALAM, 18 JULAI: Selangor merekodkan kes kematian tertinggi akibat Covid-19 hari ini iaitu 82 kes daripada 153 jumlah keseluruhan yang dicatat di Malaysia.

Ketua pengarah kesihatan menerusi kenyataan berkata negeri itu turut mencatat kematian sebelum tiba di hospital (BID) tertinggi iaitu 20 kes daripada 24 kes seluruh negara.

Manakala Kuala Lumpur mencatatkan dua BID dan masing-masing satu kes di Pulau Pinang serta Labuan.

Daripada jumlah 82 kematian di Selangor, sebanyak 60 kes melibatkan warganegara dan 22 lagi bukan warganegara melibatkan 47 lelaki dan 35 wanita.

Selain itu, sebanyak 58 kes maut mempunyai sejarah pesakit kritikal dan selebihnya tidak direkodkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes kematian sebelum tiba di hospital naik tujuh kali ganda

SHAH ALAM, 2 JULAI: Kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) naik tujuh kali ganda sejak April sehingga Jun tahun ini.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan analisa Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mendapati pada April sebanyak 35 kes BID dilaporkan, namun jumlah itu meningkat kepada 246 kes pada Jun.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan berkata kebanyakan kes BID adalah dari kumpulan umur 50 hingga 70 tahun.

Secara keseluruhan, katanya, sebanyak 670 kes BID dilaporkan dalam negara dengan 136 kes pada tahun lalu dan 534 kes pada tahun ini setakat Jun.

Tiga negeri yang merekodkan kes BID tertinggi pada tahun ini adalah Selangor iaitu 181 kes diikuti Sabah (85) dan Kuala Lumpur (78).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata bilangan kematian akibat Covid-19 pada hari ini menurun kepada 73 kes berbanding 84 kes semalam.

Katanya, Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar kematian iaitu 29 kes diikuti Negeri Sembilan (13), masing-masing (lima) di Kuala Lumpur dan Sabah, masing-masing (empat) di Johor, Pahang, dan Sarawak, Labuan (tiga), masing-masing (dua) di Kelantan dan Pulau Pinang, serta masing-masing (satu) di Melaka dan Kedah.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM jelaskan tiga keadaan kes mati BID akibat Covid-19 makin banyak

SHAH ALAM, 28 MEI: Selain terus mencipta rekod baharu kes positif Covid-19, kes jenazah dibawa ke hospital (BID) akibat jangkitan itu turut meningkat.

Rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Twitter menunjukkan sebanyak 95 kes BID dicatatkan antara 1 hingga 26 Mei. Angka harian tertinggi direkodkan pada 22 Mei dengan 10 kes.

KKM turut menjelaskan tiga senario kes yang dikongsikan Pakar Pediatrik Hospital Sungai Buloh
Dr Siti Sarah Aishah Suhaidi.

Berikut perincian kes:

1. Bergejala seperti demam dan batuk dan pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat. Tidak buat ujian saringan #COVID19. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.

2. Didapati positif Covid-19. Telah dilapor kepada KKM oleh klinik swasta. Ditemui meninggal di dunia di rumah sebelum dihantar ke pusat kuarantin atau hospital.

3. Hilang deria rasa dan sangat letih tapi tidak mengambil serius gejala-gejala ini. Hanya berehat di rumah. Beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.

Pada 25 Mei, ketua pengarah kesihatan berkata jumlah kes harian Covid-19 kini mengikut aliran pertumbuhan (eksponensial) yang dijangka.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan kenaikan dikesan sejak 1 April dan mampu mencetuskan lonjakan kes jika tidak dibendung.

Jumlah jangkitan harian Covid-19 terus meningkat kepada 8,290 kes, rekod tertinggi pernah dicatatkan sejak wabak melanda negara.

Sumber Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia