Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Langgar SOP, Siti Nurhaliza dikompaun RM10,000

SHAH ALAM, 27 MEI: Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dalam majlis tahnik anak keduanya di Ampang bulan lalu.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, suami penyanyi terkenal tanah air itu, turut dikompuan pada kadar sama.

“Arahan kompaun dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya selepas meneliti kertas siasatan dan mendapati pasangan berkenaan juga gagal mematuhi penjarakan fizikal sewaktu bergambar dan sebagainya.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari yang hadir ke majlis turut dikompaun RM2,000,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Arjunaidi berkata tiga anak Khalid turut dikenakan kompaun dengan jumlah yang sama.

Sebelum ini beberapa gambar berkaitan majlis berkenaan mengundang pelbagai reaksi warga maya termasuk komen negatif mendakwa berlaku aktiviti rentas negeri oleh tetamu yang hadir.

Bagaimanapun Siti Nurhaliza dan Khalid memohon maaf sekiranya menyentuh sensitiviti seluruh masyarakat namun menafikan majlis berkenaan melanggar SOP.

Sementara itu, Arjunaidi berkata pihaknya turut mengenakan kompaun RM2,000 kepada selebriti Norman Hakim dan Abby Abbadi bersama pasangan masing-masing kerana melanggar SOP ketika Aidilfitri.