Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 4,000 individu daftar saringan percuma di dua DUN esok

SHAH ALAM, 21 MEI: Lebih 4,000 individu mendaftar Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara dan Seri Serdang esok.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata berikutan itu, orang ramai digalak mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi memastikan kelancaran proses.

“Setakat ini, penduduk yang telah daftar untuk saringan Covid-19 di Dewan Masyarakat Bukit Kinrara 2, Puchong (Kinrara) dan Dewan Puchong Utama 7 (Seri Serdang) pada 22 Mei 2021, masing-masing melebihi 2,000 orang,” katanya di Facebook.

Saringan percuma itu akan bermula serentak jam 9 pagi hingga 4 petang.

Sejak 8 Mei lalu hingga 10 Jun ini, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Hasil saringan di 14 DUN sekitar Hulu Langat dan Gombak, hampir 20,000 individu menghadiri ujian itu dan 1,171 darinya dikesan berkemungkinan positif.