Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga bazar Ramadan boleh mohon bantuan RM500 hingga 30 Jun

SHAH ALAM, 21 MEI: Peniaga bazar Ramadan di enam daerah yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memohon bantuan khas RM500 bermula hari ini hingga 30 Jun depan.

Unit perancang ekonomi negeri (Upen) memaklumkan wang terbabit akan disalur terus ke akaun pemohon dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan dibuat.

Pemohon yang layak adalah peniaga yang berdaftar dengan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis PerbandaranKuala Langat.

“Peniaga yang mendaftar dengan penganjur bazar bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) juga layak memohon. Penerima akan mendapat sekali bantuan sahaja walaupun mempunyai lebih dari satu petak niaga atau permit,” maklum Upen menerusi notis hari ini.

Mengikut Upen, permohonan boleh dibuat di laman sesawang www.selangorprihatin.com dengan melengkapkan maklumat peribadi termasuk nombor akaun yang aktif bagi memudahkan saluran bantuan.

“Peniaga mempunyai masalah akaun akan diuruskan secara berasingan dan perlu menghantar maklumat serta dokumen ke alamat email [email protected],” katanya.

Pada 5 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan RM500 kepada 11,000 penjaja bazar Ramadan yang terjejas bagi meringankan beban mereka membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tersebut juga bagi menanggung keresahan peniaga akibat penutupan bazar Ramadan mulai 8 Mei.

Enam daripada sembilan daerah di Selangor iaitu Petaling, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sepang dikenakan PKP mulai 6 Mei lalu susulan peningkatan jangkitan Covid-19.