Categories
BERITA UTAMA RENCANA

MB ucap Selamat Hari Wesak kepada penganut agama Buddha

Saya mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada seluruh penganut agama Buddha di negeri Selangor Darul Ehsan.

Sekali lagi, komuniti Buddha di Selangor dan Malaysia menyambut hari terpenting mereka yang melambangkan pencerahan atau ‘enlightenment’ serta pemergian Gautama Buddha dalam suasana yang berbeza.

Saya difahamkan Wesak atau dalam Bahasa Sinhala, ‘Vesak’ berasal dari Bahasa Pali yang juga merujuk perkataan Sanskrit ‘Vaisakha’, iaitu nama yang digunakan untuk merujuk kepada bulan April-Mei di India.

Kebiasaannya, penganut agama Buddha di negeri Selangor akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi untuk memberi penghormatan kepada Gautama Buddha serta melafazkan Tisarana sebagai tanda memperbaharui komitmen mereka kepada ajaran Buddha.

Namun, kita berada dalam situasi yang boleh dikatakan ‘dejavu’, pengulangan kepada apa yang kita lalui tahun lalu.

Aktiviti-aktiviti di rumah ibadat ditangguhkan kepada suatu waktu lain sehingga keadaan penularan wabak Covid-19 yang mendadak dapat dikawal dan kesihatan rakyat dapat dipelihara.

Di Selangor, pentadbiran Kerajaan Negeri mengambil langkah berasaskan data dan sains mengikut saranan pakar kesihatan awam.

Pertama, saringan komuniti ataupun ‘mass testing’ supaya perebakan wabak Covid-19 dapat dikesan, diisolasi, dikawal dan dihentikan perebakannya.

Sehingga kini, hampir 40,000 warga Selangor telah disaring secara percuma dengan penggunaan pendekatan yang menjadikan data dan sains sebagai fulkrum kesihatan awam.

Pendekatan ini yang menggunakan kaedah saringan Rtk-Ag (antigen) dapat mengenalpasti pesakit yang berkemungkinan positif dengan pantas supaya pendekatan FTTIS (cari, uji, kesan, asing, sokong) dapat dilaksanakan.

Dengan itu, saringan sebegini bertujuan mengawal perebakan dan dalam erti kata lain membeli masa (buy time) sementara proses vaksinasi boleh dipercepatkan.

Ini mendorong Kerajaan Negeri untuk mendirikan usaha ‘outreach’ ImuniSel serta memperolehi bekalan vaksin Selangkah Vax yang bermula sejak tahun lalu lagi sebagai pelengkap kepada inisiatif vaksinasi Kerajaan Persekutuan.

ImuniSel dirangka bagi membantu warga yang tidak mempunyai akses kepada peranti serta perkhidmatan internet ataupun berhadapan dengan apa yang disebut sebagai ‘digital divide’ agar mereka dapat didaftarkan untuk menerima vaksin.

Seperti maksud asal Wesak yang melambangkan enlightenment kepada komuniti Buddha, saya percaya vaksin membawa erti kata yang sama dalam usaha rakyat Selangor dan Malaysia memerangi wabak COVID-19.

Justeru, saya menyeru anda semua, terutamanya anak-anak yang mempunyai akses kepada teknologi dan maklumat, untuk memanfaatkan waktu perayaan ini sebagai peluang berbicara dan meyakinkan ibu bapa anda betapa pentingnya untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin demi kesihatan dan keselamatan kita semua.

Walaupun perayaan Hari Wesak tidak disambut di kuil selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan, saya berharap kita sama-sama menggunakan peluang ini untuk bersama dengan keluarga di rumah sendiri agar situasi kesihatan awam kita terkawal.

Sekali lagi, saya mengucapkan Selamat Hari Wesak 2020 kepada anda semua.

Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor