Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesakit makin ramai, pusat Covid-19 Serdang sedang dipertingkat

SHAH ALAM, 17 MEI: Sebuah lagi dewan dibangunkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0 bagi menampung tambahan pesakit.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata langkah itu diharap memberi keselesaan kepada pesakit berikutan hampir 60 peratus dari 5,869 katil sedia ada sedang digunakan.

Dalam kenyataan di Facebook, agensi itu berkata purata jumlah kemasukan pesakit pada ketika ini sekitar 600 sehari dan pernah mencecah sehingga 1,800 orang.

“Pesakit yang dimasukkan ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 perlu melalui penilaian kesihatan berpandukan kategori rawatan mengikut gejala terutama pesakit kategori tiga.

“Di samping bertanyakan sejarah kesihatan, pesakit perlu menjalani pemeriksaan fizikal dan kesihatan lain yang mengambil masa terutama melibatkan jumlah yang ramai pada satu-satu masa,” katanya.

Kenyataan itu menjawab laporan portal berita berhubung luahan pesakit yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan katil selain cuaca sejuk dan tandas yang jijik.

Jabatan itu berkata, PKRC pada awalnya dikhaskan untuk pesakit kategori satu dan dua, manakala warga emas berusia lebih 70 tahun dan kanak-kanak bawah dua tahun ditempatkan di Sungai Buloh.

Bagaimanapun, peningkatan mendadak kes menyebabkan pesakit dipindahkan ke pusat kuarantin bersepadu itu sekali gus menambah bilangan katil dari 60 kepada 752.

“Kapasitinya akan ditambah menjadi 1,000 katil dalam waktu terdekat. Peningkatan ini sudah tentu meningkatkan cabaran kepada petugas dalam memastikan penyampaian perkhidmatan sebaik mungkin kepada pesakit,” katanya.