Categories
AGENDA NASIONAL

Polis Selangor tingkat sekatan jalan raya, elak rentas daerah

SHAH ALAM, 5 MEI: Polis Selangor akan meningkatkan jumlah sekatan jalan raya (SJR) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah mulai esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata langkah itu bagi menyekat aktiviti rentas negeri atau daerah terutama menjelang sambutan Aidilfitri minggu hadapan.

Beliau menjelaskan rentas hanya dibenarkan atas urusan kecemasan dan orang ramai perlu memohon kebenaran daripada polis terlebih dahulu.

“Selain daripada itu, pemantauan bazar, pusat beli-belah dan tumpuan ramai akan turut ditingkatkan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan disiplin kendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan PKP mulai esok hingga 17 Mei.

Sementara Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor kekal dikenakan PKPB.