Categories
AGENSI SELANGOR

Ribuan daftar, saringan percuma dapat perhatian penduduk luar bandar

RAWANG, 21 MEI: Lebih 1,800 penduduk kawasan luar bandar menyertai program saringan bersasar Covid-19 secara percuma di Dewan Serbaguna Kuang di sini, hari ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata jumlah itu membabitkan pradaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan pendaftaran di lokasi saringan.

“Walaupun Kuang terletak di kawasan luar bandar namun jumlah pradaftar iaitu 1,800 orang amat memberangsangkan sama seperti di bandar.

“(Penduduk) masing-masing melihat kepentingan untuk melakukan saringan berikutan pelbagai varian baharu mula dikesan,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika ditemui.

Mohd Noor Md Nasir

Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut berperanan meningkatkan jumlah ujian berikutan ramai bekerja dari rumah.

Jelasnya, bilangan peserta yang ramai membuktikan hebahan serta maklumat program mulai 8 Mei sampai kepada golongan sasaran.

“Seawal jam 7.30 pagi lagi pelbagai lapisan masyarakat mula beratur. Mungkin ada yang tidak dapat keluar bekerja ketika PKP dan ada yang perlu bekerja dari rumah. Semua tempat saringan menunjukkan penerimaan baik,” katanya.

Program sama turut berlangsung serentak di Seri Kembangan.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.