Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya diminta tambah baik pengangkutan awam luar bandar

SHAH ALAM, 3O SEPT: Putrajaya diminta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), gesa ahli Parlimen Hulu Selangor.

June Leow Hsiad Hui berkata kualiti kemudahan itu yang tidak memuaskan menyebabkan ramai penduduk menggunakan kenderaan sendiri untuk berulang alik ke tempat kerja di bandar.

Beliau menjelaskan faktor lain berpunca daripada kekurangan perjalanan dan sambungan laluan terhad.

“Keadaan berbeza terutama di Kuala Lumpur yang memiliki akses pengangkutan awam, sudah tiba masanya kerajaan memperbaiki kemudahan itu di luar bandar seperti Hulu Selangor dalam RMK12.

“Tingkatkan kecekapan pengangkutan awam supaya budaya penggunaan pengangkutan awam dapat disemai dalam kalangan penduduk luar bandar,” katanya dalam perbahasan RMK12 di Parlimen hari ini.

June Leow turut membangkitkan kebimbangan ibu bapa berhubung keselamatan anak remaja mereka dalam program suntikan vaksin yang dimulakan sejak 20 September.

“Mereka takut menandatangani borang kebenaran kerana ada dinyatakan risiko pengambilan vaksin ditanggung ibu bapa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga luar bandar jual ayam serendah RM7 sekilogram

KLANG, 30 SEPT: Pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati beberapa peniaga di negeri ini mula menurunkan harga ayam serendah RM7 sekilogram.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata harga antara RM7 hingga RM8 sekilogram dijual di beberapa kawasan di luar bandar.

“Rungutan mengenainya berkurangan selepas ramai bersetuju harga RM9.50, malah di luar bandar ada yang jual RM7 ke RM8 lebih dan harga ini sebenarnya bergantung kepada pemborong dan penjual.

“Tetapi di pihak kita sentiasa memantau tidak melebihi RM9.50 seperti disyorkan,” katanya selepas mengedar 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin hari ini.

Beliau juga menyeru peniaga, pemborong dan penternak ayam sama-sama meringankan beban rakyat dengan mengawal harga dan tidak menaikkannya.

Pada 21 September, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan disaran menyemak semula dasar pertanian dan keselamatan makanan bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kebergantungan terhadap import bekalan mentah untuk membuat makanan ayam menjadi punca kenaikan harga di pasaran ketika ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lebih 800,000 individu terkesan terima manfaat Pakej Kita Selangor

SHAH ALAM, 27 OGOS:  Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM278.34 juta untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat Covid-19 sehingga 16 Ogos.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah berkata jumlah itu merangkumi RM41.7 juta menerusi Pakej Kita Selangor 1.0 dan RM236.63 juta (Pakej Kita Selangor 2.0).

“Daripada 46 program di bawah Pakej Kita Selangor ini, sebanyak 11 program telah selesai dilaksana. Program ini disediakan dengan tumpuan kepada kebajikan rakyat dan kelangsungan negeri ini.

“Kerajaan Negeri berusaha membantu semua lapisan penduduk negeri ketika berdepan cabaran kesan penularan pandemik Covid-19,” katanya  dalam sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail mengenai status bantuan Covid-19 untuk rakyat dan jumlah penerima manfaat.

Borhan berkata setakat 16 Ogos, seramai 871,837 individu menerima manfaat menerusi Pakej Kita Selangor 1.0 dan Pakej Kita Selangor 2.0.

Mengenai cadangan menukar kaedah pemberian bakul makanan kepada sumbangan kewangan, Borhan berkata Kerajaan Negeri akan mempertimbang secara mendalam kaedah yang boleh digunakan.

Namun, katanya pemberian secara tunai mempunyai risiko seperti kehilangan wang tunai serta dikhuatiri disalah guna dengan membeli barangan bukan keperluan.

 

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Tingkat jalur lebar luar bandar, bantu pendigitalan perniagaan

SHAH ALAM, 23 JUN: Kelajuan jalur lebar di kawasan luar bandar perlu ditingkatkan bagi membantu peniaga melakukan transformasi pendigitalan perniagaan mereka.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri menyedari kemudahan kelajuan internet di luar bandar seperti Sabak Bernam perlu ditingkatkan kerana banyak perusahaan kecil dan sederhana beroperasi.

“Itu akan menjadi cabaran kerajaan pada tahun ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Beliau berkata, transformasi pendigitalan perniagaan bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negeri tetapi hasil jualan dapat dinikmati peniaga menerusi empat kempen e-dagang Selangor.

“Dalam perkongsian tadi ada peniaga meningkat jualan sebanyak RM3,000 dan yakin pada waktu sekarang (Perintah Kawalan Pergerakan) bukan turun tetapi naik angka tertentu.

“Ini bukan sahaja dirasai di Lembah Klang tetapi di Sabak Bernam dan Sungai Air Tawar,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ribuan daftar, saringan percuma dapat perhatian penduduk luar bandar

RAWANG, 21 MEI: Lebih 1,800 penduduk kawasan luar bandar menyertai program saringan bersasar Covid-19 secara percuma di Dewan Serbaguna Kuang di sini, hari ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata jumlah itu membabitkan pradaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan pendaftaran di lokasi saringan.

“Walaupun Kuang terletak di kawasan luar bandar namun jumlah pradaftar iaitu 1,800 orang amat memberangsangkan sama seperti di bandar.

“(Penduduk) masing-masing melihat kepentingan untuk melakukan saringan berikutan pelbagai varian baharu mula dikesan,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika ditemui.

Mohd Noor Md Nasir

Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut berperanan meningkatkan jumlah ujian berikutan ramai bekerja dari rumah.

Jelasnya, bilangan peserta yang ramai membuktikan hebahan serta maklumat program mulai 8 Mei sampai kepada golongan sasaran.

“Seawal jam 7.30 pagi lagi pelbagai lapisan masyarakat mula beratur. Mungkin ada yang tidak dapat keluar bekerja ketika PKP dan ada yang perlu bekerja dari rumah. Semua tempat saringan menunjukkan penerimaan baik,” katanya.

Program sama turut berlangsung serentak di Seri Kembangan.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri rancang bawa produk ‘Made in Selangor’ ke R&R

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

DENGKIL, 4 MAC: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi mewujudkan kiosk di kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam memasarkan produk ‘Made in Selangor’.

EXCO Pembangunan Usahawan, Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, banyak produk yang dihasilkan ‘Made in Selangor’ berkualiti namun tiada tempat untuk dipasarkan.

“Saya akan berbincang bersama PLUS untuk mengadakan kiosk ‘Made in Selangor’ berkonsepkan ‘Homemade Market’ bagi memasarkan produk daripada Selangor.

“Dalam ‘Homemade Market’ ini kita boleh gabungkan pelbagai produk dalam satu kiosk. Jadi ramai usahawan boleh terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui di Majlis Perlancaran Program Pembangunan Keusahawanan Wanita (WEP) PLUS di R&R Dengkil arah selatan, di sini.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Terdahulu, produk ‘Made In Selangor’ juga dirancang diperluaskan di pasaraya dan pusat membeli belah dengan kerjasama AEON.

Sebelum itu, produk berkenaan dipamerkan di pasar raya dalam sesuatu tempoh.

‘Made In Selangor’ dilaksanakan sebagai medium pemasaran dan tapak permulaan bagi memperkenalkan produk tempatan ke pasaran lebih luas.

Ia turut membuka peluang kepada usahawan Hijrah dalam mengetengah perniagaan mereka.

Mengulas program inisiatif WEP itu, Rodziah berkata, pihaknya memuji usaha PLUS dalam memperkasakan usahawan wanita dan wajar dijadikan contoh kepada pihak swasta lain.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Sampai bila Najib mahu ‘bodohkan’ orang kampung?

OLEH TAN KAR HING

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu ucapannya pada Dialog eUsahawan TN50 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak bercadang memberi subsidi pembangunan internet berkelajuan tinggi di luar bandar.

Dikatakan kawasan di luar bandar tidak mempunyai permintaan tinggi dan tidak wajar sekiranya wang rakyat diambil dan digunakan untuk memberi subsidi.

Perkara ini amat mengecewakan dan saya berpendapat bahawa alasan Najib itu tidak masuk akal kerana dilihat sengaja tidak mahu memberikan penduduk kampung akses kepada internet.

Semua penduduk sewajarnya mendapat kemudahan tambahan supaya mereka juga tahu perkembangan semasa dan keadaan sebenar yang berlaku di dalam negara.

Selain itu, anggapan penduduk luar bandar tidak mampu melanggan perkhidmatan internet perlu ditolak jauh memandangkan mereka perlu berkongsi kemudahan terbabit yang mampu melonjak kekuatan ekonomi di desa.

Saya beranggapan bahawa Najib sendiri tahu internet merupakan medium paling berkesan menyampaikan dan menyebarkan maklumat, jadi beliau takut sekiranya orang kampung mengetahui keadaan sebenar melalui pelbagai sumber yang boleh diperolehi daripada internet seperti blog, portal berita dan media sosial yang melaporkan perkara sebenar tanpa ditapis.

Jangan beranggapan tiada penembusan internet di luar bandar oleh kerana penduduk sendiri yang tidak mahukannya kerana memperkenalkan internet kepada mereka sedikit sebanyak akan menimbulkan keinginan untuk menggunakannya.

Kebimbangan Umno BN dapat dilihat apabila sokongan luar bandar akan beralih arah sekiranya mereka mempunyai akses kepada internet.

Sampai bila Najib Razak ingin memperbodohkan rakyat? Semua rakyat tidak kira di bandar atau desa berhak mempunyai jaringan internet yang sama rata.

* Tan Kar Hing adalah ADUN Simpang Pulai (KEADILAN)

Selangor anjur program latih belia baik pulih kapal terbang – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 14102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Bersempena sambutan Aidiladha pada masa akan datang,beberapa bentuk sumbangan sedang dipertimbang Kerajaan Selangor bagi membantu masyarakat Islam yang memerlukan.

2. Kerajaan Negeri akan menganjurkan program latihan penyelengaraan dan baik pulih peralatan mekanikal kapal terbang kepada golongan belia di luar bandar.

3. Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memantau peningkatan wabak denggi yang semakin meningkat di Selangor.