Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC tiada hasrat tambah pemain baharu

SHAH ALAM, 23 MEI: Selangor FC tidak merancang menambah pemain baharu bagi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang berbaki kurang 10 hari lagi.

Pengurusnya Mahfizul Rusydin memaklumkan pihaknya juga tidak merancang untuk menggugurkan mana-mana pemain termasuk import ketika ini.

“Kita tiada perancangan mengikat pemain baharu sebaliknya menggunakan barisan pemain sedia ada.

“Kita ada beberapa pemain yang cedera sebelum ini seperti Nik Sharif Haseefy, Tim Heubach dan Safuwan Baharudin yang dijangka pulih serta boleh beraksi apabila liga bersambung Julai,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengesahkan tiada pemain Selangor FC dipancing mana-mana pasukan ketika jendela perpindahan dibuka sejak awal Mei lalu.

“Namun dalam tempoh sehingga 31 Mei pelbagai perkara boleh berlaku, jika ada pemain baharu kita akan umumkan,” katanya.

Selangor FC kini pada kedudukan kelima Liga Super selepas 13 perlawanan dengan mengumpul 19 mata.

Saingan Liga M berehat selama dua bulan bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa membabitkan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta saingan Liga Juara-Juara Asia dan AFC.