Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Warga emas nekad pandu lima kilometer demi saringan percuma

RAWANG, 21 MEI: Biarpun penglihatan kurang jelas, seorang lelaki warga emas nekad memandu sendiri untuk menjalani saringan Covid-19 di Dewan Batu 17 di sini semalam.

Moo Yoon Sang, 78, memandu kereta jenis Proton Iswara sejauh lima kilometer dari kediamannya di Kampong Lim Tan tanpa pengetahuan ahli keluarga lain.

Bapa kepada dua anak itu mengakui tindakannya boleh mengundang bahaya, namun dia enggan mensia-siakan peluang menyertai ujian percuma yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

“Kelmarin, jiran maklumkan ada program saringan dan sesiapa sahaja boleh datang. Jadi, alangkah baik kalau saya ambil kesempatan ini memandangkan tidak pernah berbuat demikian.

Moo Yoon Sang

“Anak-anak tidak tahu saya datang sini. Jika saya beritahu mereka lebih awal, sudah tentu mereka akan mohon cuti semata-mata untuk bawa saya, kalau boleh saya tidak mahu mengganggu masa mereka,” kata bekas pemandu lori itu.

Sementara itu, Nor Asiah Yassin, 42, bersama lima anaknya mengambil keputsan membuat saringan selepas suami dikesan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Beliau yang berkhidmat sebagai pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta berkata majikannya turut memberi cuti kuarantin selepas dimaklumkan perkara tersebut.

“Suami kontak rapat kepada seorang jemaah di surau berhampiran rumah yang positif Covid-19 dan kelmarin dia sudah buat saringan di klinik swasta.

“Buat masa ini dia sedang kuarantin sementara menunggu keputusan saringan yang sepatutnya keluar esok (hari ini),” katanya yang menetap di Bukit Beruntung.

Bagi Sockalingam R.N Dharmalingam, 72, ujian calitan penting demi keselamatan diri dan keluarga meskipun tidak mempunyai sebarang gejala.

Sockalingam R.N Dharmalingam

“Saya boleh tahu keputusan ujian dengan lebih cepat dan jika hasilnya positif, mudah untuk saya buat tindakan selanjutnya mengikut arahan doktor,” kata bapa kepada dua anak itu.

Seorang lagi peserta, Farzana Abdul Razak yang pertama kali membuat saringan sanggup mengambil cuti dan membawa dua anak lelakinya di Dewan Sri Siantan, Sungai Tua.

Wanita berusia 39 tahun itu berkata langkah berjaga-jaga diambil selepas dimaklumkan rakan sekerjanya dijangkiti virus berkenaan.

“Kami semua diarah bekerja dari rumah kerana menjadi kontak rapat dan saya ambil cuti sebab mahu jalani saringan ini. Walaupun perlu beratur panjang tetapi perkhidmatan sangat cepat,” katanya yang menetap di Setapak, Kuala Lumpur.