Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Lebih 84,000 kes aktif, 883 pesakit di ICU

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Masuk hari keempat fasa satu Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), negara masih bergelut dengan jumlah kes harian baharu Covid-19 yang tinggi sehingga mencecah sembilan ribu di samping rekod kes harian kematian meningkat tiga angka.

Sebanyak 7,748 lagi kes positif Covid-19 dilaporkan pada 4 Jun, menjadikan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan di negara ini meningkat kepada 84,369 kes, sementara kes kumulatif melepasi paras 600,000 kepada 603,122 kes

Selangor masih mencatat kes harian baharu tertinggi hari ini sebanyak 2,612 kes, dikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 851 kes dan Negeri Sembilan 709 kes.

Kes harian baharu tertinggi untuk tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (29 Mei hingga 4 Jun) direkod pada Sabtu 29 Mei iaitu sebanyak 9,020 kes.

Sementara itu, kes kematian menurun kepada dua angka semalam iaitu 86 kes, menjadikan jumlah kes kematian sebanyak 3,182 kes. Selangor kekal mencatat kes kematian tertinggi iaitu 20 kes, diikuti Johor 14 dan Negeri Sembilan 13 kes.

Kakitangan perubatan di Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur mengenakan sut perlindungan diri (PPE) susulan kenaikan kes Covid-19 ketika tinjauan pada 16 Februari 2021. Foto REUTERS

Kes kematian tiga angka dilaporkan pada Rabu 2 Jun 2021 iaitu sebanyak 126 kes, memahat sejarah hitam dalam penularan koronavirus maut ini di Malaysia.

Jumlah kematian ni merupakan yang tertinggi sejak wabak Covid-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020. Pada Khamis 3 Jun, sebanyak 103 lagi kes kematian dilaporkan dengan Selangor mencatat kes tertinggi, 26 kes. Pada Sabtu 29 Mei 2021, sebanyak 98 kes kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dipetik berkata, tempoh tiga hingga empat bulan diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 yang sudah merebak luas di negara ini.

Ini ditambah dengan pengesanan varian baharu Covid-19 iaitu Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI).

Sehingga 4 Jun 2021, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 138 kes. Daripada jumlah tersebut, 122 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan berharap perlaksanaan SPP yang berkuatkuasa 1 Jun hingga 14 Jun (fasa pertama) dapat mengekang penularan ganas Covid-19.

Di bawah SPP, kerajaan menutup penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara kecuali sektor dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat VOC sebagai kebimbangan global iaitu United Kingdom (B.117), Afrika Selatan (B.1.351), Brazil (P.1) dan India (B.1.617).

WHO berikutnya mengumumkan varian Covid-19 akan dikenali menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan dengan stigma pandemik itu.

Variant of Concern (VOC) seperti berikut:-

*varian Beta (B.1.351);
*varian Alpha (B.1.1.7); dan
*varian Delta (B.1.617.2).
Variant of Interest (VOI) seperti berikut:-
*varian Theta (P.3);
*varian Eta (B.1.525); dan
*varian Kappa (B.1.617.1)

Berikut adalah rekod kes harian baharu yang dicatat sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 29 Mei hingga 4 Jun 2021:-

29 Mei (9,020 kes), 30 Mei (6,999 kes), 31 Mei ( 6,824 kes), 1 Jun (7,105 kes), 2 Jun (7,703 kes ), 3 Jun (8,209 kes) dan 4 Jun ( 7,748 kes ).

Bilangan pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin meningkat, begitu juga bilangan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan. Setakat Jumaat 4 Jun 2021, sebanyak 883 kes direkod di ICU dan 459 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 603,122 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 39 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19, mengatasi Emiriah Arab Bersatu (576,947 kes) dan Nepal (576,936 kes).

Kes kematian membimbangkan

Angka kes kematian Covid-19 di negara ini yang konsisten dua angka dan kemudiannya melonjak tiga angka pada 2 Jun 2021 sebanyak 126 kes sememangnya mencemaskan tambahan dengan lebih 800 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lebih 400 yang memerlukan bantuan pernafasan.

Rekod kes kematian sebanyak 126 yang dicatat pada 2 Jun itu melibatkan 123 orang warganegara dan tiga (3) orang bukan warganegara.

Kakitangan kesihatan membuat semburan nyahkuman terhadap ahli keluarga mangsa korban Covid-19 di bilik mayat sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 23 Mei 2021. Foto REUTERS

Daripada 126 kes kematian itu juga, sebanyak 21 kes dikategorikan sebagi kes mayat dibawa ke hospital (Brought In Dead/BID). Kes BID merujuk kepada kes kematian di luar hospital dan kematian ini disahkan disebabkan Covid-19 selepas proses bedah siasat.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar KPK mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia pada Jumaat 4 Jun 2021 melaporkan 86 kes kematian (83 warganegara, 3 bukan warganegara).

Ini menjadikan kes kumulatif sebanyak 3,182 kes (0.53 peratus).

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 29 Mei hingga 4 Jun 2021 :-

29 Mei – 98 kes (98 WN), 30 Mei – 79 kes (78 WN 1 BWN), 31 Mei -67 kes (64 WN 3 BWN), 1 Jun -71 kes (69 WN 2 BWN), 2 Jun – 126 kes (123 WN 3 BWN), 3 Jun – 103 kes (100 WN 3 BWN) dan 4 Jun – 86 kes (83 WN 3 BWN).

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

Sepanjang tempoh ini, Selangor mengatasi negeri-negeri lain dalam kes kematian tertinggi iaitu 27 kes (29 Mei), 15 kes (30 Mei), 15 kes (31 Mei), 28 kes (1 Jun), 29 kes (2 Jun), 26 kes (3 Jun) dan 20 kes (4 Jun).

Kes melibatkan warganegara

Penularan tempatan masih membelenggu kes harian baharu Covid-19 di Malaysia sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (29 Mei hingga 4 Jun 2021), pada purata 90 peratus.

Rekod KKM semalam (4 Jun 2021) menunjukkan, daripada 7,748 kes baharu, sebanyak 7,746 kes adalah penularan tempatan, melibatkan 6,721 warganegara (86.8 peratus) dan 1,025 bukan warganegara (13.2 peratus). Kes import sebanyak dua (2) kes.

Berikut adalah data yang menunjukkan keseluruhan situasi kes baharu, kes kumulatif dan kes import, berdasarkan makluman KKM:-

Sabtu 29 Mei – Kes baharu : 9,020 kes (558,534 kes kumulatif); Kes import : 5 kes (4 warganegara, 1 bukan warganegara); Kes tempatan : 9,015 kes [8,346 warganegara (92.6%); 669 bukan warganegara (7.4%)];

Ahad 30 Mei – Kes baharu : 6,999 kes (565,533 kes kumulatif); Kes import : 4 kes (3 warganegara, 1 bukan warganegara); Kes tempatan : 6,995 kes [6,385 warganegara (91.3%); 610 bukan warganegara (8.7%)];

Isnin 31 Mei – Kes baharu : 6,824 kes (572,357 kes kumulatif); Kes import : 3 kes (1 warganegara, 2 bukan warganegara); Kes tempatan : 6,821 kes [6,239 warganegara (91.5%); 582 bukan warganegara (8.5%)];

Selasa 1 Jun – Kes baharu : 7,105 kes (579,462 kes kumulatif); Kes import : 2 kes (2 bukan warganegara); Kes tempatan : 7,103 kes [6,550 warganegara (92.2%); 553 bukan warganegara (7.8%)];

Rabu 2 Jun – Kes baharu : 7,703 kes (587,165 kes kumulatif); Kes import : 2 kes (1 warganegara, 1 bukan warganegara); Kes tempatan : 7,701 kes [6,861 warganegara (89.1%); 840 bukan warganegara (10.9%)];

Khamis 3 Jun – Kes baharu : 8,209 kes (595,374 kes kumulatif); Kes import : 64 kes (56 warganegara, 8 bukan warganegara); Kes tempatan : 8,145 kes [7,046 warganegara (86.5%); 1,099 bukan warganegara (13.5%)];

Jumat 4 Jun – Kes baharu : 7,748 kes (603,122 kes kumulatif); Kes import : 2 kes (2 bukan warganegara); Kes tempatan : 7,746 kes [6,721 warganegara (86.8%); 1,025 bukan warganegara (13.2%)];

Di sebalik kenaikan kes harian baharu, jumlah kes sembuh merekodkan angka yang menggalakkan. Setakat 4 Jun 2021, sebanyak 6,642 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini 515,571 kes ( 85.5 peratus).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

29 Mei ( 5,527 kes ), 30 Mei ( 5,121 kes), 31 Mei ( 5,251 kes), 1 Jun ( 6,083 kes ), 2 Jun ( 5,777 kes), 3 Jun (7,049 kes) dan 4 Jun (6,642 kes).

Masih banyak kluster baharu

KKM pada 29 Mei lepas melaporkan perkembangan kluster rentas negeri dengan sebanyak 51 kluster direkod bermula 7 Disember 2020, melibatkan 6,468 kes. Ini adalah hasil daripada kebenaran pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara.

Keadaan pandemik yang meruncing menyebabkan kerajaan mengenakan larangan semula sejak 10 Mei 2021.

Menurut KKM, kluster rentas negeri termasuk berpunca daripada kes indeks yang pulang untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, pulang menziarahi keluarga, menghadiri majlis perkahwinan, majlis hari jadi, majlis pengebumian atau kursus di negeri lain serta menjalankan aktiviti ceramah bebas merentas negeri.

Sejak 1 April 2021 sehingga 28 Mei 2021 sahaja, sebanyak 20 kluster rentas negeri yang terdiri daripada 1,420 kes dilaporkan.

Orang ramai keluar membeli barangan keperluan ketika tinjauan di sebuah pasar raya sekitar Kuala Lumpur pada 22 Mei 2021. Foto BERNAMA

Daripada jumlah itu, negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster tertinggi adalah Melaka dengan lapan (8) kluster (40 peratus), Terengganu dengan tiga (3) kluster (15 peratus) serta Kelantan, Perak dan Pahang dengan masing-masing dua (2) kluster (10 peratus).

Sebanyak 23 kluster baharu dilaporkan pada Jumaat 4 Jun 2021, dan secara keseluruhannya, kluster tempat kerja masih banyak dilaporkan sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 29 Mei hingga 4 Jun ini. Daripada rekod 161 kluster sepanjang tempoh berkenaan, 83 kluster (51.5 peratus) adalah kluster tempat kerja.

Butiran kluster baharu dan kluster yang berkaitan sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini adalah seperti berikut:-

29 Mei – 23 kluster baharu (8 kluster tempat kerja, 8 kluster komuniti, 6 kluster keagamaan, dan 1 kluster pendidikan;
30 Mei – 17 kluster baharu (6 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 2 kluster keagamaan, 1 kluster pendidikan, 1 kluster Kumpulan Berisiko Tinggi);
31 Mei – 25 kluster baharu (14kluster tempat kerja, 9 kluster komuniti, 1 kluster pendidikan dan 1 kluster Kumpulan Berisiko Tinggi);
1 Jun – 27 kluster baharu (13 kluster tempat kerja, 8 kluster komuniti, 3 kluster keagamaan, 2 kluster pendidikan dan 1 kluster Kumpulan Berisiko Tinggi);
2 Jun – 22 kluster baharu (11 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 1 kluster keagamaan, 2 kluster pendidikan dan 1 kluster pusat tahanan);
3 Jun – 24 kluster baharu (19 kluster tempat kerja, 4 kluster komuniti dan 1 kluster pendidikan).
4 Jun -23 kluster baharu (12 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 2 kluster keagamaan dan 2 kluster pendidikan).

Secara keseluruhannya sehingga 4 Jun 2021, negara merekod sejumlah 2,284 kluster dan 1,593 daripadanya ditamatkan, sementara 691 kluster masih aktif.
Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada 4 Jun 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 4 Jun 2021 untuk seluruh negara kekal 1.03 . Negeri mencatat Ro tertinggi ialah WP Labuan 1.36, Negeri Sembilan 1.22, Sabah 1.15 dan Melaka 1.15.

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Perincian kes Covid-19 Malaysia

Berdasarkan perincian KKM untuk 7,748 kes harian baharu Covid-19 yang dilaporkan KKM pada Jumaat 4 Jun 2021, Selangor terus menyumbang kes terbanyak empat angka iaitu 2,612 kes dan 1,773 daripadanya adalah kes kontak rapat.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, kes harian baharu Covid-19 di Selangor adalah seperti berikut:-

29 Mei (2,836 kes), 30 Mei ( 2,477 kes), 31 Mei (2,111 kes), 1 Jun ( 2,068 kes), 2 Jun ( 2,728 kes), 3 jun ( 3,125 kes) dan 4 Jun (2,612 kes).

Sementara itu, negeri yang mencatat k​​​​es harian baharu tiga angka – WP Kuala Lumpur, 851 kes, Negeri Sembilan 709 kes, Sarawak 706 kes, Johor 446 kes, Pulau Pinang 376 kes, Perak 371 kes, Sabah 287 kes, Kelantan 286 kes, Kedah 263 kes, Melaka 234 kes, WP Labuan 230 kes, Terengganu 203 kes dan Pahang 146 kes.

Kes harian baharu dua angka – Putrajaya 20 kes.
Kes harian baharu satu angka – Perlis 8 kes.

– BERNAMA