Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Bekalan vaksin kurang, bukan isu PPV atau kapasiti suntikan

SHAH ALAM, 28 JUN: Selangor bukan berdepan masalah kapasiti atau bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) sebaliknya kekurangan bekalan, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan kapasiti  harian keseluruhan 73 PPV di negeri ini mampu menyuntik 87,616 orang tetapi bekalan sedia ada hanya cukup untuk 53,037 orang.

“Sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerima 1,189,350 dos dengan 954,051 daripadanya sudah diagihkan menjadikan baki simpanan sebanyak 235,277 dos.

“Lebihan sekitar 20 peratus itu dijangka bertahan dua hari lagi sekiranya proses vaksinasi dijalankan pada kapasiti penuh PPV,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Dr Siti Mariah berkata, JKNS akan menerima sekitar 60,000 unit dos lagi hari ini.

“Insya-Allah apabila digandingkan dengan Program Vaksin Selangor yang akan diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari nanti, kita akan mampu mencapai sasaran Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) dengan masing-masing 135,000 dan 165,000 kadar vaksinasi harian menjelang Julai
dan Ogos,” katanya.