Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Program vaksin Selangor lancar, mudahkan orang ramai terima suntikan

SHAH ALAM, 28 JUN: Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) yang bermula hari ini berjalan lancar dan memudahkan orang ramai menerima suntikan.

Tinjauan SelangorKini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Taman Selayang, Gombak mendapati proses mengikut tatacara operasi piawai (SOP) bermula dari semakan pendaftaran, pemeriksaan serta penerangan kesihatan dan pemberian vaksin.

Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate) yang mengendalikan program itu turut menyediakan khemah dan kerusi bagi memberi keselesaan kepada orang ramai sementara menunggu giliran mereka.

EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud meninjau PPV di Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Exco Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud turut meninjau proses vaksin di dewan berkenaan.

Seorang penerima vaksin, Nurhidayah Abd Majid, 37, memuji perjalanan hari pertama SCVP dan beliau tidak menunggu lama untuk divaksin.

Nurhidayah Abd Majid

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor yang menyediakan bantuan ini dan memberi perlindungan kepada kami sekiranya dijangkiti Covid-19,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Rahim Kasdi berkata sebanyak 4,500 dos vaksin dijangka akan disuntik di PPV itu dalam tempoh tiga hari hingga Rabu ini.

“Penerima vaksin terdiri daripada penduduk di DUN Sungai Tua dan Gombak Setia,” katanya.

SCVP dilaksanakan secara besar-besaran sebagai sokongan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 memaklumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk menjayakan inisiatif berkenaan.