Categories
ADN SELANGOR

Kaunter bergerak daftar vaksin di Sasaran Sungai Buloh esok

SHAH ALAM, 17 JUN: Kaunter bergerak pendaftaran vaksin bagi golongan warga emas akan dibuka di Sasaran Sungai Buloh, Kuala Selangor, jam 8.30 pagi esok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif berkenaan dapat memastikan lebih ramai golongan berisiko menerima vaksin Covid-19.

“Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Melawati akan membantu pendaftaran, mengenal pasti keperluan pengangkutan ke pusat pemberian vaksin (PPV) serta membuat penerangan kempen vaksinisasi ini.

“Program akan dijalankan di setiap kampung dan lokaliti terpilih untuk membantu golongan rentan seperti warga emas dan OKU mendaftar mendapatkan suntikan vaksin,” katanya menerusi Facebook.

Pada 15 Jun, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) giat mengesan warga emas di Selangor yang belum mendaftar suntikan vaksin.

Setakat ini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Selangor fasa kedua mencapai 88 peratus pendaftaran daripada jumlah keseluruhan warga emas berdaftar.