Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor bersiap awal walau tidak diramal alami bah besar, ADN jawab PM

SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan Selangor sudah menyediakan pelan perancangan banjir beberapa bulan sebelum bencana pada Disember walaupun tiada ramalan ancaman hujan luar biasa.

“Jika berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Selangor tidak diramalkan mengalami bencana besar. Pun begitu, Kerajaan Negeri tetap buat persiapan bencana hujung tahun seperi biasa,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Menjawab dakwaan perdana menteri di Twitter, beliau yang juga setiausaha politik Dato’ Menteri Besar menjelaskan perancangan awal itu dibuat sejak September dan Oktober lagi.

Difahamkan mesyuarat pertama pengurusan bencana peringkat negeri dibuat pada 6 September lalu diikuti latihan simulasi menghadapi monsun Timur Laut pada keesokannya.

Mesyuarat penyelarasan monsun Timur Laut dan fenomena air laut pasang besar diadakan pada 22 Oktober, sementara kenyataan Unit Pengurusan Bencana Negeri dikeluarkan pada 17 November.

Bagaimanapun persiapan yang dibuat hanya pada tahap biasa, jelas Juwairiya ketika menjawab ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini.

“Tahap kesiapsiagaan negeri pada waktu tempoh bencana tahap biasa dari aspek bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pemindahan 5,000 mangsa dengan (bekalan makanan dan kelengkapan asas) dalam tempoh 10 hari sahaja.

Usaha menyelamat mangsa banjir dijalankan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 20 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Namun, bencana besar pada Disember lalu menyaksikan lebih 70,000 rakyat Selangor terjejas dalam tempoh yang singkat,” katanya lagi.

Beliau juga memuatkan tangkap layar ramalan MetMalaysia pada 17 Disember yang tidak membayangkan ancaman hujan tetapi hanya dikeluarkan pada jam 2 petang 18 Disember.

“Hanya pada petang 18 Disember, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan tahap bahaya bagi negeri Selangor walaupun hujan lebat berterusan sejak 17 Disember,” katanya lagi di Twitter.

Dalam ucapannya, perdana menteri mengakui kejadian banjir yang berlaku di Selangor melebihi kemampuan jentera tindak balas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas JPBN Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali,” kata Ismail Sabri.

Beliau juga menjelaskan hujan mencurah-curah pada 18 Disember lalu melebihi purata taburan hujan sebulan, selain fenomena air laut pasang besar.

“Banjir di Selangor yang bermula pada 18 Disember berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan,” katanya.

“Pada masa yang sama kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.”

Susulan itu, Juwairiya mengkritik perdana menteri yang turut mendakwa “amaran cuaca ini tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana” hingga perlu campur tangan kerajaan persekutuan.

“Ini bukan saat menuding jari kepada pihak lain! Menjadi tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (yang diketuai perdana menteri) untuk menjaga seluruh negara yang dilanda bencana,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Kaunter bergerak daftar vaksin di Sasaran Sungai Buloh esok

SHAH ALAM, 17 JUN: Kaunter bergerak pendaftaran vaksin bagi golongan warga emas akan dibuka di Sasaran Sungai Buloh, Kuala Selangor, jam 8.30 pagi esok.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif berkenaan dapat memastikan lebih ramai golongan berisiko menerima vaksin Covid-19.

“Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Melawati akan membantu pendaftaran, mengenal pasti keperluan pengangkutan ke pusat pemberian vaksin (PPV) serta membuat penerangan kempen vaksinisasi ini.

“Program akan dijalankan di setiap kampung dan lokaliti terpilih untuk membantu golongan rentan seperti warga emas dan OKU mendaftar mendapatkan suntikan vaksin,” katanya menerusi Facebook.

Pada 15 Jun, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) giat mengesan warga emas di Selangor yang belum mendaftar suntikan vaksin.

Setakat ini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Selangor fasa kedua mencapai 88 peratus pendaftaran daripada jumlah keseluruhan warga emas berdaftar.

 

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Bukit Melawati bantu cungkil bakat jaguh motosikal

SHAH ALAM, 14 JUN: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati akan terus menyokong usaha mencungkil bakat baharu dalam sukan permotoran.

Juwairiya Zulkifli berkata kejayaan Syarifuddin Azman menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Sepanyol semalam yang diasah bakatnya di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor boleh menjadi pendorong.

“Sejak menjadi wakil rakyat, saya ada membangkitkan keperluan naik taraf litar berkenaan dan syukur Kerajaan Negeri luluskan peruntukan RM300,000.

“Semoga dengan kemudahan lebih baik ini dapat melahirkan lebih ramai pelumba motosikal profesional yang dapat mengharumkan nama negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Juwairiya berkata litar berkenaan sememangnya terkenal dalam kalangan pelumba motosikal termasuk atlet profesional kerana treknya mencabar yang dapat meningkatkan teknik.

 

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat bantu pergerakan warga emas, OKU jalani saringan percuma

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bukit Melawati menyediakan pengangkutan percuma untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) ke program Saringan Komuniti di Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor di sini, semalam.

Ahli Dewan Negerinya Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif itu bagi meringankan beban golongan berkenaan menjalani ujian calitan percuma yang ditawarkan Kerajaan Selangor.

“Sukarelawan Team Selangor ditugaskan membawa golongan terbabit datang ke lokasi saringan selepas mendapat makluman ketua kampung yang terlebih dahulu turun ke kawasan perumahan penduduk.

“Perkhidmatan ini disediakan sepanjang program berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Mereka terus disaring sebaik tiba di lokasi dengan menggunakan laluan khas tanpa perlu menunggu lama,” katanya ketika meninjau program tersebut semalam.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 46 DUN sehingga Sabtu.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Bukit Melawati bantu golongan memerlukan

SHAH ALAM, 14 FEB: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati menghulurkan bantuan kepada beberapa penduduk melalui program Ziarah Kasih semalam.

Wakil rakyat terbabit, Juwairiya Zulkifli berkata pihaknya menyumbang kerusi roda kepada dua keluarga memerlukan di Taman Kuala Selangor Utama dan Tanjong Keramat.

“Dalam program sama, seorang wanita enam anak yang mengalami masalah kewangan turut dibantu. Kita beri keluarga itu susu tepung kanak-kanak serta barangan keperluan dapur.

“Satu generator turut disumbangkan ke Kuil Sri Madurai Veeran Alayam bagi urusan rumah ibadat itu,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban penerima dan memudahkan urusan harian mereka.