Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Jangan terpedaya jualan vaksin Covid-19 dalam talian

SHAH ALAM, 18 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan tawaran penjualan vaksin Covid-19 di pasaran.

Kementerian itu menegaskan vaksin yang dijual di pasaran berkemungkinan tiruan atau datang daripada sumber tidak sah dan tidak diketahui status keselamatan.

“Sehingga kini, vaksin hanya dibekalkan kerajaan mengikut Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Sebarang penjualan atau pembekalan vaksin melalui mana-mana medium lain termasuk secara dalam talian adalah tidak dibenarkan.

“Elakkan diri anda daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab,” tulis kementerian itu di Facebook.

Kementerian terbabit turut menasihati orang ramai bersabar menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan Covid-19 selain meminta untuk mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera.