Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma fasa tiga di DUN Seri Setia, Taman Medan esok

SHAH ALAM, 18 JUN: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan digalak membuat saringan Covid-19 secara percuma esok.

Saringan Komuniti fasa tiga anjuran Kerajaan Negeri diadakan di Dewan Komuniti MBPJ Jalan PJS6/1 Kampung Lindungan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Orang ramai boleh membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari http://screening.selangkah.my/login.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) membolehkan pengesanan jangkitan dalam tempoh kurang 30 minit.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM10.7 juta untuk menjayakan program berkenaan dengan tumpuan di kawasan jangkitan tinggi selain sektor industri dan perkilangan.

Selain DUN Seri Setia dan Taman Medan, program tersebut juga dilaksana di DUN Gombak Setia, Sungai Tua dan Taman Templer pada Ahad.

Bagi DUN Kajang pula diadakan pada 26 Jun manakala Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa pada 27 Jun.