Categories
AGENDA NASIONAL

Pembangkang Selangor diberi dana RM50,000 untuk bantu rakyat

SHAH ALAM, 11 JUN: Kerajaan persekutuan digesa mencontohi langkah Kerajaan Selangor menyediakan dana kepada wakil rakyat pembangkang bagi menjayakan program rakyat.

Peruntukan tambahan RM50,000 diberi kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) dan ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Dr Ong Kian Ming

Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming
“Saya harap kerajaan persekutuan boleh mengikut sikap Kerajaan Selangor di mana pihak pembangkang diberikan peruntukan yang sama dengan ADN kerajaan. Kita perlu menghadapi cabaran pandemik ini bersama tak kira parti politik.”

Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani
“Satu inisiatif yang sangat dialu-alukan selepas peruntukan kita selaku ahli parlimen pembangkang ditarik balik. Keprihatinan Kerajaan Negeri sangat kita hargai dengan tambahan peruntukan RM30,000 yang diberikan untuk terus membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.”

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad
“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor atas bantuan tersebut. Sebagai ahli parlimen pembangkang kami tidak lagi mendapat peruntukan seperti dahulu. Namun, kami berusaha untuk memberi khidmat kepada rakyat di kawasan kami. Setiap bantuan amat dialu-alukan.”

Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah
“Ia membantu ahli parlimen men-yalurkan bantuan kepada penduduk memerlukan terutama mereka yang terpaksa menjalani kuarantin di rumah. Lagipun sehingga kini dana amat terhad memandangkan tiada peruntukan yang disalurkan dari pusat bagi tujuan berkenaan.”

Mohamad Sabu

Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu
“Amat baik terutama dalam suasana rakyat amat memerlukan. Terutama bantuan makanan bagi membela golongan berpendapatan rendah yang terjejas.”

ADN Jeram Mohd Shaid Rosli
“Inisiatif yang bagus tetapi diharap tambahan RM50,000 peruntukan baharu bukan menggunakan peruntukan sedia ada seperti sebelum ini. Jika sedia ada, kami pembangkang memang sudah tiada peruntukan. Terima kasih Kerajaan Selangor kerana cakna dengan kami walaupun berbeza fahaman politik.”

Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas pemberian peruntukan tambahan berjumlah RM50,000 program bakul makanan kepada semua ADN Selangor termasuk pembangkang. Saya menyambut baik inisiatif dalam usaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di setiap kawasan yang sangat terkesan dengan masalah Covid-19 tanpa mengira latar belakang parti.”