Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Promosi punca warga asing sertai Saringan Komuniti meningkat

PETALING JAYA, 19 JUN: Jumlah warga asing menyertai Saringan Komuniti Covid-19 fasa tiga meningkat kepada lima peratus berbanding sebelum ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata peningkatan daripada dua peratus itu susulan keberkesanan iklan serta promosi dilakukan pihaknya bagi mengajak orang ramai melakukan ujian.

“Kali ini semua iklan kita letak ‘warga asing digalakkan’ menyebabkan mereka berani datang dan jalani saringan hari ini.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, ada kilang dibenar beroperasi ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan pekerja juga terdiri dari warga asing. Dengan cara ini kita mampu kekang penularan pandemik,” kata Halimey Abu Bakar kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata lebih 1,000 individu dijangka menyertai saringan percuma di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan membabitkan DUN Seri Setia dan Taman Medan.

Pada 9 Jun Dato’ Menteri Besar berkata saringan fasa tiga diteruskan di kawasan mencatatkan kes tinggi selain sektor industri dan perkilangan dengan sasaran 100,000 individu diuji.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak diperkenalkan tahun lalu, program telah menyaring penduduk Selangor lebih daripada angkat tersebut menerusi fasa satu ketika PKP 1.0 hingga PKP 2.0 dan fasa dua sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.