Categories
EXCO SELANGOR

Tubuh sukarelawan di 56 DUN, didik masyarakat peka risiko Covid-19

SHAH ALAM, 26 JUN: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan cadangan penubuhan sukarelawan di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

EXCO kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pasukan itu akan mendidik masyarakat mengenai kesihatan awam dan pematuhan tatacara operasi piawaian (SOP).

“Kita perlukan sukarelawan yang bergerak dalam kerajaan untuk didik rakyat peka keadaan. Usaha tangani wabak ini perlu kerjasama banyak pihak, bukan pemberian vaksin sahaja,” katanya.

Beliau berkata  pada program Juru Bicara Rakyat: ‘Kad Laporan PH: Memerangi Covid-19’ disiarkan di Facebook pada Khamis.

Sementara itu, katanya Kerajaan Selangor melancarkan beberapa program kesihatan antaranya ujian saringan bersasar, program kuarantin kendiri dan sistem pencegahan penularan di kawasan titik panas di tempat kerja (POIS).

“Dua lagi program adalah Imunisel (Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor) dan terbaharu SCVP (Program Vaksinasi Covid-19 Selangor),” katanya.