Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat bantu pergerakan warga emas, OKU jalani saringan percuma

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bukit Melawati menyediakan pengangkutan percuma untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) ke program Saringan Komuniti di Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor di sini, semalam.

Ahli Dewan Negerinya Juwairiya Zulkifli berkata inisiatif itu bagi meringankan beban golongan berkenaan menjalani ujian calitan percuma yang ditawarkan Kerajaan Selangor.

“Sukarelawan Team Selangor ditugaskan membawa golongan terbabit datang ke lokasi saringan selepas mendapat makluman ketua kampung yang terlebih dahulu turun ke kawasan perumahan penduduk.

“Perkhidmatan ini disediakan sepanjang program berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Mereka terus disaring sebaik tiba di lokasi dengan menggunakan laluan khas tanpa perlu menunggu lama,” katanya ketika meninjau program tersebut semalam.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 46 DUN sehingga Sabtu.