Categories
AGENDA NASIONAL

Wujud sistem cegah Covid-19 di sekolah, elak cetus kluster

SHAH ALAM, 27 JUN: Kerajaan Negeri bercadang melaksanakan sistem pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) di sekolah sebagai langkah mencegah perebakan Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata POIS yang dilaksanakan di kilang bagi mengekang kluster tempat kerja wajar diperluaskan ke institusi pendidikan.

“Ia sebagai langkah membendung wabak dalam kalangan pelajar sekolah atau juga melibatkan pusat pengajian tinggi.

“Pihak sekolah akan dimaklumkan tindakan perlu dibuat jika sesi persekolahan dibuka, kita tidak mahu golongan pelajar terdedah virus,” katanya pada program Juru Bicara Rakyat:’Kad Laporan PH: Memerangi Covid-19 disiarkan di Facebook pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk mewajibkan penggunaan POIS di setiap kilang berbanding pelaksanakan secara sukarela ketika ini.

“Banyak wujud kluster kilang, jadi Selangor mungkin wajibkan POIS untuk mencegah kluster tempat kerja,” katanya.

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.