Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

118 penduduk Pangsapuri Sri Ayu positif Covid-19

BANGI, 10 JULAI: Seramai 118 penduduk di Pangsapuri Sri Ayu, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar positif Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu diperoleh setelah 2,332 penduduk membabitkan 392 pintu menjalani saringan.

“Hampir 100 peratus di pangsapuri ini adalah penempatan asrama pekerja di sebuah kilang elektronik dan yang lain serta semuanya dalam keadaan terkawal.

“Proses mengesan kontak rapat dan saringan kedua selesai dilakukan sebelum kita memasuki fasa seterusnya iaitu pemberian vaksin kepada penduduk,” katanya dalam sidang media.

Sebelum itu, beliau meluangkan masa satu jam melawat program pemberian vaksin di kawasan itu dengan diiringi Pegawai Daerah, Najmuddin Jemain.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata proses tersebut dijangka mengambil masa selama dua hari bermula hari ini membabitkan kira-kira 1,000 individu dan selebihnya esok.

“Semua penduduk menerima vaksin daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS). Kita mungkin akan menggunakan formula yang sama di lokaliti lain yang turut dilaksanakan PKPD bersasar,” katanya.

Pangsapuri Sri Ayu dikenakan PKPD 14 hari bermula 30 Jun hingga 13 Julai susulan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokasi terbabit dengan 205 kes positif dikesan dalam tempoh sebulan.

Langkah itu bagi memastikan penduduk berisiko dijangkiti wabak kekal berada dalam kawasan dan tidak menjangkiti komuniti luar.