Categories
ADN SELANGOR

DUN Sungai Pelek senarai pendek peserta layak terima vaksin

SHAH ALAM, 20 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek kini dalam proses menyenarai pendek nama peserta yang layak untuk menerima suntikan menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Wakil rakyatnya Ronnie Liu Tian Khiew berkata antara golongan menjadi fokus adalah warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan yang berpenyakit kronik bagi mendapatkan 2,600 dos vaksin itu.

“Bilangan ini mungkin agak terhad tetapi kita akan berusaha sedaya upaya memastikan individu tidak tersenarai akan dapat suntikan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program penyampaian juadah raya Aidiladha kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel Movenpick & Pusat Konvensyen KLIA di sini hari ini.

Pada masa sama, Tian Khiew mencadangkan Kerajaan Negeri menambah bilangan dos Selvax Komuniti memandangkan permintaan yang tinggi di samping mempercepatkan imuniti kelompok.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Maklumat lanjut mengenai Selvax boleh didapati dengan melayari laman web https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600.