Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin kanak-kanak penting untuk fasa peralihan ke endamik – KKM

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Pengambilan vaksin Covid-19 amat penting bagi kalangan kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun terutamanya semasa negara akan memulakan fasa peralihan ke endemik 1 April depan, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM menerusi catatan di akaun Facebook rasminya hari ini berkata kanak-kanak kini merupakan golongan yang lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

Menurutnya ini memandangkan mereka yang berumur 11 tahun dan ke bawah belum mendapat perlindungan sewajarnya berbanding dengan kumpulan umur lebih tinggi yang telah mendapat vaksinasi.

“Kadar kemasukan kanak-kanak ke wad PICU (Unit Rawatan Rapi Pediatrik) akibat Covid-19 meningkat sebanyak 94 peratus untuk kesemua kategori tiga hingga lima, dengan peningkatan ketara untuk kategori empat sebanyak 200 peratus, diikuti kategori lima sebanyak 125 peratus,” menurut kenyataan itu.

Justeru KKM sekali lagi menasihatkan ibu bapa untuk mengambil vaksin untuk anak-anak bagi melindungi mereka daripada varian Omicron yang boleh membawa maut dari jangkitan Covid-19 dan komplikasinya iaitu Multi System Inflammatory Syndrome in Children atau MIS-C.

– BERNAMA

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Jais: Hanya jemaah lengkap dos penggalak dibenar solat Jumaat di masjid, surau

SHAH ALAM, 27 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan tatacara operasi piawai (SOP) yang menetapkan hanya jemaah lengkap dos penggalak dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri ini.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata kenyataan dikeluarkan timbalan ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini bertujuan memaklumkan orang ramai bahawa SOP berkenaan hanya membabitkan umat Islam di Selangor.

“Betul kenyataan yang dikeluarkan Jakim. Maknanya dia (Jakim) memaklumkan bahawa hal ehwal Islam adalah bidang kuasa negeri-negeri.

“Perkara ini sangat jelas tetapi semua pihak yang tidak berkaitan turut diselar macam-macam,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Terdahulu, Datuk Hakimah Mohd Yusoff memaklumkan SOP yang ditetapkan berdasarkan surat pekeliling Jais bertarikh 21 Februari lalu hanya terpakai di masjid dan surau di Selangor.

Beliau berkata Jakim menghormati ketetapan dibuat pihak berkuasa agama negeri ini dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia terima kumpulan kedua vaksin Covid-19 dari UAE

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Malaysia hari ini menerima kumpulan kedua 500,000 dos vaksin Covid-19 Sinopharm yang disumbangkan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pesawat Etihad Airways yang membawa vaksin itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 12.15 tengah hari.

Sumbangan itu diserahkan pegawai Kedutaan UAE di Malaysia kepada pegawai dari Kementerian Luar (Wisma Putra), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan dalam satu majlis ringkas di KLIA.

Turut hadir, Ketua Hal Ehwal Ekonomi, Politik dan Media Kedutaan UAE di Malaysia, Nouf Ibrahim Ali Rashed AlKuwaiti dan Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar, Shahabudeen Adam Shah.

“Malaysia sangat menghargai bantuan Covid-19 UAE kepada Malaysia, terutamanya sumbangan vaksin yang membantu usaha Malaysia untuk menangani pandemik itu.

“Sumbangan itu juga menandakan pencapaian penting dalam kerjasama Malaysia-UAE dalam bidang diplomasi kesihatan bagi menangani pandemik C0vid-19,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Sebelum ini, kumpulan pertama 500,000 dos vaksin Sinopharm tiba di Malaysia pada 25 Januari lalu.

UAE sebelum ini turut menyumbang 20,000 unit kit ujian PCR Covid-19 dan tujuh tan pensanitasi tangan yang dibuat khusus untuk stok peralatan diplomatik (MDES), masing-masing pada Mac dan Mei 2020.

UAE adalah rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Timur Tengah dan Asia Barat dengan jumlah dagangan dua hala bernilai US$5 bilion pada tahun lepas.

Semasa banjir melanda Semenanjung baru-baru ini, UAE negara pertama yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa melalui Bulan Sabit Merah UAE.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

79 peratus daripada 191 kematian ibu hamil akibat tiada vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Sebanyak 79 peratus daripada 191 kes kematian akibat komplikasi jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil pada tahun lalu, terdiri daripada mereka yang tidak menerima suntikan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kematian dalam kalangan ibu hamil yang dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara, turut membabitkan 83 peratus daripada mereka yang mempunyai komorbiditi.

Menurutnya, bagi tahun ini sehingga 15 Feb, tiada kes kematian melibatkan ibu hamil disebabkan oleh jangkitan Covid-19 dilaporkan.

“Liputan vaksin yang tinggi iaitu 94.7 peratus pada umur 18 tahun ke atas telah tercapai pada Oktober 2021 dan ini menyumbang kepada penurunan kematian ibu hamil akibat komplikasi COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Beliau berkata sejumlah 18,277 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu hamil dilaporkan dari Mac 2020 sehingga Januari tahun ini.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ibu bapa perlu risau kepada jangkitan Covid-19, bukan vaksin

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Sejak pelaksanaannya pada 3 Feb lepas, program pemvaksinan Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau PICKids, dilihat masih “bertatih” dengan kebanyakan ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendaftarkan anak mereka di bawah program itu.

Menjengah ke laman sosial khususnya Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), rata-rata ibu bapa yang meninggalkan komen memberi alasan tidak mahu anak mereka diperlakukan seperti “tikus makmal” selain berpandangan si anak masih terlalu kecil untuk menerima vaksin “sekuat” itu.

Sikap sedemikian boleh menjejaskan matlamat kerajaan untuk memastikan 80 peratus daripada kanak-kanak yang disasarkan menerima dos pertama dalam tempoh setahun dan 60 peratus lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan.

Mengulas permasalahan itu, kebanyakan pakar kesihatan berpendapat ibu bapa yang berkenaan menyempitkan tumpuan mereka kepada vaksin dan gagal melihat keseluruhan isu jangkitan SARS-CoV-2 yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19.

Perjudi nyawa anak 

Bercakap kepada Bernama, Pakar Perunding Klinikal Imunologi Klinikal dan Alergi Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Intan Hakimah Ismail berkata fahaman ibu bapa bahawa antibodi anak sekecil itu masih kuat sebenarnya mengundang risiko si anak mendapat jangkitan Covid-19 yang serius berbanding kesan advers vaksinasi.

“Berdasarkan data sejarah vaksin sedia ada, kebanyakan kesan buruk vaksin berlaku dalam tempoh enam minggu pertama selepas suntikan dan kesan jangka panjang yang negatif selalunya tiada.

“Dua dos vaksin Covid-19 lengkap boleh menjana tindak balas imun yang kuat kepada kumpulan kanak-kanak terbabit dan mampu mencegah kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19,” jelasnya.

Malah kata beliau pengambilan vaksin juga akan melindungi kanak-kanak daripada sindrom multisistem radang pada kanak-kanak atau MIS-C, iaitu komplikasi Covid-19.

MIS-C ini jarang berlaku, namun jika berlaku ia membawa akibat yang sangat serius dan boleh membawa kematian, jelas Dr Intan Hakimah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata sejak Januari lepas, terdapat 9,413 kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun direkodkan di negara ini.

“Walaupun jumlah ini tidak banyak berbanding orang dewasa, kanak-kanak yang dijangkiti berisiko mendapat MIS-C serta Long Covid yang kita tidak tahu kesan sebenar,” kata Khairy yang dipetik oleh laporan media itu.

Utamakan kerisauan jangkitan virus

Sementara itu, pakar virologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata ibu bapa sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk bimbang tentang keselamatan vaksin tersebut yang telah melepasi fasa ujian.

Katanya kesan yang berlaku selepas pengambilan vaksin adalah perkara normal yang secara tidak langsung menunjukkan tubuh penerima memberi tindak balas terhadap vaksin.

“Apa yang perlu dirisaukan adalah kesan teruk apabila berlaku jangkitan (Covid-19) yang sebenar kerana apabila keadaan itu berlaku ia lebih sukar ditangani.

“Dua dos vaksin ini cukup untuk kurangkan risiko kanak-kanak (dijangkiti Covid-19) dan respons imun ini juga boleh menangani varian Omicron yang sekali gus mengurangkan kadar kebolehjangkitan virus Covid-19 kepada kanak-kanak,’’ katanya yang menyarankan pihak berwajib memberi pencerahan sebaik mungkin bagi menangani kekhuatiran ibu bapa tentang vaksin.

Beliau turut menyarankan ibu bapa yang masih berbolak-balik tentang pemvaksinan anak mereka agar memahami maklumat kandungan vaksin serta kesan sampingan yang mungkin terjadi dalam aplikasi MySejahtera.

Menerusi PICKids, kanak-kanak akan diberikan dua dos vaksin Cominarty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection keluaran Pfizer-BioNTech dengan dos kedua diberikan selepas lapan minggu disuntik dos pertama.

Comirnaty selamat untuk kanak-kanak 

Sementara itu, Dr Adli Ali pula berkata vaksin keluaran Pfizer-BioNTech itu selamat dan berkesan untuk kanak-kanak.

Menurut Pensyarah Kanan Klinikal dan Pakar Perunding Imunologi Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz itu, laporan The New England Journal of Medicine menerusi artikel bertajuk ‘Evaluation of the ‘BNT162b2 Covid-19 Vaccine in Children 5 to 11 years of Age’ menunjukkan vaksin tersebut berupaya menghasilkan imuniti yang mencukupi bagi melawan jangkitan SARS-CoV-2.

“Kajian ini menunjukkan vaksin Pfizer 10 mcg yang diberikan dengan jarak 21 hari di antara dua dos adalah selamat.

“Pemberian vaksin ini juga berfungsi secara serampang tiga mata, iaitu selain mencegah daripada mendapat jangkitan (Covid-19), individu yang mendapat jangkitan juga hanya mengalami gejala ringan dan secara tidak langsung mengurangkan kadar jangkitan kepada individu lain,” katanya

Vaksin adalah ikhtiar 

Sementara itu, Balkish Awang, 40, berpandangan pengambilan vaksin tersebut adalah ikhtiar untuk melindungi anaknya daripada virus maut berkenaan.

“Memang ada kerisauan namun bagi saya ini adalah ikhtiar untuk melindungi mereka,” katanya, menambah dua anaknya yang berusia 11 dan sembilan tahun telah menerima dos pertama masing-masing pada 5 Feb lepas.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kedua-dua anaknya juga tidak menunjukkan kesan sampingan yang teruk.

Sementara itu, bagi penerima cilik Haziq Danial Shahrul Azlan, 11, dia kini berasa lebih selamat untuk ke sekolah dan juga bermain dengan rakan.

“Walaupun ada rakan yang belum daftar (untuk ambil vaksin), saya tidak takut untuk disuntik vaksin. Malah tak sakit pun ketika disuntik,” katanya, menambah dia juga tidak mengalami demam dan lain-lain kesan sampingan.

Haziq Danial dan adiknya Rania Zara, sembilan, menerima dos pertama masing-masing di Dewan Orang Ramai Ampang Mewah pada 5 Feb lepas.

Setakat 9 Feb lalu, seramai 62,809 orang atau 1.7 peratus daripada kanak-kanak yang layak telah menerima dos pertama mereka, sementara pendaftaran pula mencecah 670,000 orang.

Dalam pada itu, sekalipun kerajaan memberikan komitmen yang tinggi untuk melindungi rakyat pelbagai peringkat usia daripada dijangkiti Covid-19, pelaksanaan PICKids adalah secara sukarela dan tidak ada sekatan akan dikenakan terhadap kanak-kanak yang tidak menyertai program pemvaksinan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ibu bapa mahu dapat pandangan doktor sebelum benar anak terima vaksin

SHAH ALAM, 2 FEB: Rata-rata ibu bapa mengambil sikap mahu mendapatkan pandangan doktor pakar sebelum memutuskan anak berusia lima hingga 12 tahun mengambil vaksin.

Ibu tunggal Zailla Sulaiman, 36, berkata, dia masih belum yakin untuk mendaftarkan tiga anaknya berumur antara lima hingga sembilan tahun sebagai penerima suntikan pelalian Covid-19.

Dia berkata, anak sulungnya Mohd Ammar Bukhari, 9, mempunyai penyakit asma dan bimbang kesan sampingan dihadapi selepas menerima pelalian tersebut.

Meskipun bersetuju dengan program vaksin kanak-kanak itu, Zailla mahu melihat pelaksanaannya terlebih dahulu.

“Saya bersetuju dengan usaha kerajaan ini tetapi hendak lihat dulu. Kalau orang dewasa pun ada kesan sampingan, apatah lagi kanak-kanak.

“Jadi, buat masa ini saya belum bersedia lagi. Insya Allah saya akan bawa anak-anak jumpa doktor untuk mendapatkan penjelasan,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Pandangan sama disuarakan Erny Ramli, 32, yang mahu berjumpa doktor sebelum mendaftarkan Kaseh Seroja Mohd Redzuan, 6, dalam MySejahtera sebagai penerima vaksin berikutan anak tunggalnya itu mempunyai penyakit kulit dan asma.

Pembantu tadbir yang menetap di Bukit Beruntung, Rawang berkata suntikan vaksin ke atas kanak-kanak peringkat usia berkenaan masih baharu di negara ini.

“Ia tidak bermakna saya menolak sepenuhnya (pemberian vaksin kepada kanak-kanak) cuma belum masanya lagi disebabkan anak saya ada ada masalah kesihatan dan banyak kali masuk wad.

“Sebagai perlindungan daripada jangkitan Covid-19, saya akan pastikan anak sentiasa memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan terutamanya di sekolah selain mengelak tempat sesak,” katanya.

Sementara itu, kakitangan pelantar minyak Zuleffendi Abdul Rahman, 41, mengakui sudah mendaftarkan anak sulungnya Arissa Zuleffendi, 8, untuk menerima vaksin sejak minggu lepas.

Menurutnya, langkah itu didorong daripada kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan dalam kluster pendidikan sejak akhir-akhir ini.

“Sekurang-kurangnya saya tidak perlu bimbang keadaan anak semasa berada di sekolah memandangkan saya bekerja di Kota Kinabalu, Sabah dan jauh dari keluarga

“Sekarang hanya tunggu tarikh janji temu. Dia (anak) pun teruja untuk divaksin selepas melihat saya dan isteri sudah berbuat demikian sebelum ini,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia akan melaksanakan pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun bermula bulan ini.

Menteri Khairy Jamaluddin berkata keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program adalah kanak-kanak ada masalah kesihatan berikutan lebih berisiko dijangkiti wabak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ibu bapa diminta lakukan pemeriksaan kesihatan jika khuatir terima vaksin untuk anak

SHAH ALAM, 31 JAN: Ibu bapa disaran melakukan pemeriksaan kesihatan kepada anak masing-masing terlebih dahulu jika bimbang untuk menerima vaksin Covid-19.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor berkata langkah itu bagi memastikan ibu bapa yakin dengan tahap kesihatan anak mereka.

“Sebenarnya tidak ada masalah dan kebiasaannya jika ada penyakit kebanyakan ibu bapa sudah tahu lebih awal tetapi jika takut sangat untuk terima vaksin boleh buat pemeriksaan kesihatan dulu.

“Jika dalam tempoh lapan tahun ini tiada apa-apa, mak ayahnya pun sihat tidak pernah ada kanser, insya-Allah genetik anak pun akan ok dan sihat,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli ketika dihubungi.

Beliau berkata ibu bapa tidak seharusnya khuatir kerana dos yang diberikan tidak sama dengan dos disuntik kepada mereka.

Dr Mohammad Farhan Rusli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ada yang gusar dengan bengkak jantung, kematian selepas divaksin hakikatnya risiko mendapat bengkak jantung, kematian adalah lebih tinggi jika mendapat Covid-19,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula Februari ini, sebaik sahaja vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu adalah berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak.

“Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” katanya. 

Categories
AGENDA NASIONAL

11,809,467 individu dewasa negara terima suntikan dos penggalak

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Sebanyak 11,809,467 individu dewasa atau 50.4 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, bagi tempoh sama, seramai 22,923,709 individu dewasa atau 97.9 peratus telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, manakala 99.1 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,787,642 atau 88.6 peratus telah melengkapkan vaksinasi sementara 2,867,448 atau 91.1 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 97,300 dos vaksin diberikan melibatkan 732 dos pertama, 898 dos kedua dan 95,670 dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 63,384,672 dos.

Sementara itu, menurut portal Github Kementerian Kesihatan (KKM), lima kematian Covid-19 dilaporkan semalam dengan masing-masing satu kematian di Kelantan, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Selangor.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CovidNow: 11.3 juta individu dewasa terima dos penggalak

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Seramai 203,943 individu dewasa di negara ini menerima dos penggalak Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif bagi pemberian dos penggalak meningkat kepada 11,327,531 atau 48.4 peratus.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman CovidNow, seramai 22,920,175 atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa telah lengkap menerima vaksinasi, manakala 23,197,884 individu atau 99.1 peratus daripada kumpulan itu, menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 .

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,784,682 individu atau 88.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,865,987 individu atau 91.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 .

Statistik harian menunjukkan sebanyak 208,042 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 1,677 dos pertama, 2,422 dos lengkap dan 203,943 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bertambah kepada 62,892,195 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, sebanyak 12 kematian Covid-19 dilaporkan semalam dengan Sabah dan Selangor masing-masing merekodkan tiga kes, Johor (dua kes) dan masing-masing satu kes di Melaka, Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada sekatan terhadap kanak-kanak tidak divaksin – menteri

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang tidak mendapat vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata golongan itu tidak akan disekat seperti golongan dewasa yang tidak divaksin, kerana Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids), adalah tidak wajib.

Namun menurutnya ibu bapa digalakkan untuk mendaftarkan anak masing-masing di aplikasi MySejahtera (MySJ), demi melindungi mereka daripada Covid-19.

“Daftar anak anda (5-11 tahun) untuk #PICKids di MySJ. Lindungi mereka dari Covid-19,” katanya dalam ciapan terkini di Twitter.

Minggu lalu, Khairy memaklumkan sistem tempahan janji temu pemberian vaksinasi kanak-kanak melalui MySJ akan dibuka pada akhir bulan ini, bermula di Lembah Klang dahulu.

Melalui inisiatif itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan, dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal Febuari 2022, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan.

KKM ketika ini mengambil pendekatan tidak membenarkan kebebasan tertentu dinikmati individu yang lengkap divaksin kepada kumpulan antivaksin, yang antara lain ialah kebenaran makan di restoran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 25 kes radang otot jantung dikesan selepas terima vaksin

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Hanya 25 kejadian kes radang otot jantung atau miokarditis dikesan dalam tempoh 21 hari selepas individu menerima vaksinasi Covid-19, daripada 433,674 kemasukan ke 216 hospital bagi tempoh Februari hingga September 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 14 kes dilaporkan berkaitan vaksin Covid-19 Comirnaty keluaran Pfizer (Pfizer), sembilan berkaitan dengan vaksin CoronaVac (Sinovac) dan dua lagi membabitkan Oxford-AstraZaneca.

Beliau berkata kajian keselamatan vaksin Malaysia dikenali sebagai ‘Case-Based Monitoring of Adverse Events Following Covid-19 Vaccination (SAFECOVAC)’ tersebut dijalankan Institut Penyelidikan Klinikal, Institut Kesihatan Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kajian SAFECOVAC mendapati, kadar sebenar kejadian miokarditis bagi setiap juta dos yang diberikan ialah 0.9 dalam kalangan penerima vaksin Comirnaty, 0.5 untuk CoronaVac dan 0.7 untuk vaksin Oxford-Astra Zaneca.

“Dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 30 tahun, kadar sebenar berlakunya miokarditis adalah 0.87 setiap juta dos yang diberikan bagi Comirnaty dan 0.49 bagi CoronaVac, manakala bagi individu berumur 30 tahun ke atas, kadar sebenar miokarditis ialah 1.0 setiap juta dos bagi Comirnaty dan 0.6 bagi CoronaVac,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata secara kesimpulannya, berdasarkan keputusan kajian SAFECOVAC, data dari sistem Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)- kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan Real-World Data, konsisten dengan kejadian miokarditis yang sangat jarang berlaku, setelah menerima vaksin Comirnaty.

“… jika dibandingkan dengan risiko lebih tinggi untuk mendapat miokarditis daripada jangkitan Covid-19. Tambahan pula, sebahagian besar kes miokarditis yang dilaporkan adalah ringan, terhad kepada individu, dan berupaya untuk sembuh dengan segera,” katanya.

Mengenai kebimbangan terhadap kes miokarditis dan perikarditis berkaitan dengan vaksin terutamanya yang menggunakan teknologi ‘Messenger Asid Ribonukleik’ (mRNA) termasuk Comirnaty bagi populasi remaja, Dr Noor Hisham berkata lebih 33 juta dos vaksin berasaskan mRNA, dikawal selia di negara ini.

“NPRA tidak mengesan sebarang ‘Safety Alert’ yang membuktikan kesan buruk vaksin Comirnaty, dan KKM memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerajaan komited untuk terus memantau sebarang tanda amaran keselamatan kepada program vaksinasi, yang sedang berlangsung,” katanya.

Beliau turut memaklumkan penyakit miokarditis kebiasaannya disebabkan oleh virus atau penyakit autoimun.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM lulus vaksin untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Vaksin COVID-19 Comirnaty keluaran Pfizer (Pfizer) diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk imunisasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang bersidang hari ini.

“’Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection’ diluluskan untuk imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Sediaan ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu mesyuarat berkenaan juga meluluskan Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg dengan formulasi baharu untuk imunisasi COVID-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Formulasi baharu ini katanya tidak memerlukan pencairan sebelum disuntik dan mempunyai tempoh jangka hayat lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada iaitu satu bulan apabila disimpan pada suhu 2 darjah Celcius  hingga 8 darjah Celcius dinyah beku.

Dalam pada itu PBKD juga meluluskan penggunaan vaksin Convidecia® Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Vektor Adenovirus Jenis 5) (Cansino) sebagai dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun ke atas.

Vaksin penggalak ini katanya boleh diambil dengan sela masa tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama vaksin yang sama.

Bagaimanapun katanya kelulusan pendaftaran bersyarat itu masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin-vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

— BERNAMA