Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB sembelih sendiri lembu korban, puas hati pematuhan SOP

AMPANG, 20 JULAI: Dato’ Menteri Besar menyertai penduduk Bukit Antarabangsa menyembelih dan melapah sendiri lembu korban di pekarangan Stelvio di sini hari ini.

Penyembelihan lembu baka Brahman sumbangan Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada penduduk sekitar khususnya asnaf secara pandu lalu di masjid berhampiran.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aktiviti tersebut dibuat di lokasi terbuka dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Ini adalah aktiviti lazim setiap tahun kerana tempatnya terbuka dan mendapat kebenaran tetapi kali ini (aktiviti penyembelihan) agak terhad mengikut SOP Jais.

“Bagaimanapun, saya berpuas hati kerana semuanya berjalan baik dan lancar. Saya berterima kasih atas kerjasama ditonjolkan ahli jemaah serta penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui.

Amirudin berkata Jais bekerjasama dengan polis untuk memantau SOP di premis seluruh negeri yang dibenarkan membuat penyembelihan selama empat hari.

“Mereka melihat sebarang kemungkinan kesalahan namun apa yang penting pihak terbabit akan mengambil pendekatan menegur terlebih dahulu kerana kadang-kadang petugas ibadah korban terlupa,” katanya.

Kerajaan Selangor menetapkan hanya tiga premis dibenar melaksanakan aktiviti sembelihan sempena perayaan Aidiladha mengikut SOP ketat.

Premis dibenarkan ialah rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang ternak yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan masjid bawah Jais.

Selain itu, hanya lima petugas dibenarkan terlibat dalam proses sembelihan pada satu-satu masa dan sebaiknya menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin bagi mengelak jangkitan wabak.