Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB sembelih sendiri lembu korban, puas hati pematuhan SOP

AMPANG, 20 JULAI: Dato’ Menteri Besar menyertai penduduk Bukit Antarabangsa menyembelih dan melapah sendiri lembu korban di pekarangan Stelvio di sini hari ini.

Penyembelihan lembu baka Brahman sumbangan Kerajaan Negeri untuk diagihkan kepada penduduk sekitar khususnya asnaf secara pandu lalu di masjid berhampiran.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aktiviti tersebut dibuat di lokasi terbuka dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Ini adalah aktiviti lazim setiap tahun kerana tempatnya terbuka dan mendapat kebenaran tetapi kali ini (aktiviti penyembelihan) agak terhad mengikut SOP Jais.

“Bagaimanapun, saya berpuas hati kerana semuanya berjalan baik dan lancar. Saya berterima kasih atas kerjasama ditonjolkan ahli jemaah serta penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui.

Amirudin berkata Jais bekerjasama dengan polis untuk memantau SOP di premis seluruh negeri yang dibenarkan membuat penyembelihan selama empat hari.

“Mereka melihat sebarang kemungkinan kesalahan namun apa yang penting pihak terbabit akan mengambil pendekatan menegur terlebih dahulu kerana kadang-kadang petugas ibadah korban terlupa,” katanya.

Kerajaan Selangor menetapkan hanya tiga premis dibenar melaksanakan aktiviti sembelihan sempena perayaan Aidiladha mengikut SOP ketat.

Premis dibenarkan ialah rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang ternak yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan masjid bawah Jais.

Selain itu, hanya lima petugas dibenarkan terlibat dalam proses sembelihan pada satu-satu masa dan sebaiknya menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin bagi mengelak jangkitan wabak.

Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri agih 900 ekor lembu sempena Aidiladha

KLANG, 8 JULAI: Sebanyak 900 ekor lembu akan diagihkan kepada 425 masjid dan Ahli Dewan Negeri (ADN) sempena sambutan Aidiladha.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata setiap masjid menerima seekor lembu manakala empat ekor diserahkan kepada wakil rakyat.

“Tahun ini kita agihkan melalui ADN dan masjid. Tatacara operasi piawai (SOP) korban sedang diteliti selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,” katanya ketika ditemui di Pusat Pertanian Meru di sini.

Beliau berkata ibadah tersebut turut dilakukan di pusat penyembelihan Kerajaan Negeri di Banting dan Shah Alam serta 11 milik swasta.

Sementara itu, Ir Izham memaklumkan pihaknya merancang mempromosikan jualan daging susulan lambakan lembu tidak terjual sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: 1,200 ekor lembu diagih laksana korban

SHAH ALAM, 28 JUL: Kerajaan Negeri menyumbangkan 1,200 lembu untuk diagih kepada masjid dan surau serata negeri bagi tujuan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha, pada tahun ini.

Kesemua lembu gred AA dengan berat lebih 260 kilogram (kg) disumbangkan menerusi sembilan agensi di bawah naungan Kerajaan Negeri termasuk badan berkanun membabitkan jumlah keseluruhan RM6.45 juta.

Antara agensi terbabit ialah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Worldwide Holdings Berhad (WHB), Central Spectrum Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor dan KDEB Waste Management.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program saban tahun itu bagi memastikan golongan kurang berkemampuan termasuk fakir dan miskin dapat melaksanakan ibadah korban.

“Lembu ini akan diagihkan melalui penerima iaitu masjid, surau, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

“Mereka tentunya akan mensyukuri nikmat pemberian daging korban ini, sementara di pihak orang yang menyumbangkan pula terpancar rasa gembira yang tidak terhingga kerana dapat membantu meringankan kesusahan menimpa saudara seislam.

“Diharapkan penerima dapat meneruskan usaha Kerajaan Negeri dalam mengerjakan ibadah korban pada tahun ini dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Serahan Perdana Program Sumbangan Lembu Korban Peringkat Selangor Sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 2019, di Dewan Raja Muda Musa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan dan Pertanian Asas Tani, Ir Izham Hsahim; Pengurus Besar Kumpulan PKPS, Tamby Omar Mohammed serta Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminuddin.

Pada masa sama, Amirudin mengingatkan, dalam konteks pengorbanan iaitu dengan mengorbankan sikap buruk ke arah kebaikan mampu membawa kepada kejayaan dalam sesebuah organisasi mahupun masyarakat.

Katanya, sikap sukakan perubahan yang lebih baik demi kemaslahatan rakyat perlu diterapkan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kita perlu ingat bahawa kejayaan yang dicapai melalui kerja berpasukan adalah lebih indah berbanding kejayaan individu.

“Oleh itu, kita harus bersama-sama menerajui perubahan daripada segenap segi sama ada mutu perkhidmatan, mutu kerja dan pencapaian demi membangunkan negeri dicintai ini,” katanya.

Umat Islam di seluruh negara dijangka menyambut AidiAdha, pada 11 Ogos.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

ADN Gombak Setia serah sumbangan Aidiladha

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK,18 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham menyerahkan sumbangan Aidiladha kepada masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Sumbangan itu disampaikan pada Majlis Hi-Tea Bersama Rakyat, Sumbangan Kemasyarakatan dan Penyerahan Lembu Korban Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Masjid Gombak Utara @ Masjid Zakaria, di sini, semalam.

Hilman berkata, sumbangan bersempena Aidiladha itu berupa 12 ekor lembu yang diserahkan kepada 10 surau dan dua persatuan penduduk DUN Gombak Setia.

“Ia adalah program sumbangan tahunan anjuran Kerajaan Negeri bagi membantu kumpulan sasaran yang dikenal pasti pengurusan masjid dan surau di Selangor.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif ini bagi melakukan ibadah korban untuk umat Islam di Selangor terutamanya yang tidak berkemampuan atau belum pernah melakukannya,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Hilman turut mengingatkan kepada orang ramai untuk bersama mendoakan kepada seluruh jemaah Haji Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya yang sedang menunaikan ibadah Haji di Makkah ketika ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hilman turut menyerahkan sumbangan kemasyarakatan seperti pendidikan, perubatan, perniagaan dan sara diri kepada 30 penduduk DUN Gombak Setia.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya (GLC) mengagihkan sebanyak 1,200 ekor lembu bernilai RM6.4 juta, kepada pengurusan masjid dan surau di seluruh Selangor sempena Aidiladha, tahun ini.

Ia membabitkan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri agih 1,200 ekor lembu sempena Aidiladha

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya (GLC) mengagihkan sebanyak 1,200 ekor lembu bernilai RM6.4 juta, kepada pengurusan masjid dan surau di seluruh Selangor sempena Aidiladha tahun ini.

Ia membabitkan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Worldwide Holdings (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari berkata, sumbangan lembu korban itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan segenap lapisan masyarakat, khususnya yang kurang berkemampuan dapat melaksanakan ibadah korban.

“Sepertimana kelaziman dan tradisi tahun-tahun sebelum ini, ia menyaksikan komitmen Kerajaan Negeri untuk menzahirkan rasa kasih dan sayang serta sikap peduli rakyat yang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap pentadbiran negeri.

“Uniknya pada tahun ini, Kerajaan Negeri menggunakan sistem ‘voucer’ supaya agihan lembu dapat dijalankan dengan lebih telus dan efisien.

“Senarai nama pembekal yang menepati syarat akan diberikan kepada setiap penerima dan terpulang kepada penerima untuk memilih pembekal masing-masing.

“Saya percaya kaedah ini membolehkan kesemua pihak termasuk penerima sumbangan berpuas hati dengan pemilihan lembu yang sudah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serahan Perdana Agihan Lembu Korban peringkat Negeri Selangor Tahun 2018, di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia & Kebudayaan, di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim; Sohibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Bagaimanapun, Amiruddin menggesa semua pihak supaya menjaga dan mengekalkan keharmonian kaum serta sentiasa menyemai semangat pengorbanan, bertepatan dengan tuntutan agama.

“Sempena Aidiladha, saya menyeru semua pihak supaya saling merapatkan saf ukhwah dan mengekalkan perpaduan di Selangor yang terkenal dengan masyarakat majmuknya.

“Ini kerana, jika kita inginkan satu perubahan positif kepada diri sendiri dan masyarakat, pengorbanan itu perlu dilakukan secara berterusan.

“Pada masa sama saya yakin kita akan mengerti bagaimana konsep perkongsian kehidupan terutama dengan mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor sumbang lebih 1,000 lembu sempena Aidiladha

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 SEP: Kerajaan Selangor bersama anak syarikatnya menyumbang lebih 1,000 ekor lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata kesemua lembu itu bakal diagihkan ke setiap daerah, surau dan masjid di seluruh negeri.

“Semoga pemberian ini dapat menyempurnakan ibadat mereka mereka yang tidak mampu melakukan korban melalui pertolongan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Lembu Korban“Diharap umat Islam dapat mengambil ikhtibar daripada peristiwa Nabi Ibrahim sebagai pengajaran besar dalam melakukan perjuangan dan ibadah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Lembu Korban sempena Hari Raya Aidiladha di Bangunan Sultan Idris Shah, semalam.

Sumbangan lembu itu dibiayai anak syarikat kerajaan negeri, antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), Worldwide Holdings (WHB) dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Pada masa sama, beliau turut mengajak umat Islam di negeri itu supaya mengukuhkan ukhuwah di samping menjaga keharmonian kaum.

“Sempena Aidiladha, saya mengajak kita menjaga keharmonian kaum dalam negara dan negeri yang majmuk kerana keharmonian dan ukhuwah umat Islam penting bagi menjayakan program dan dasar dirangka,” katanya.

Umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada Khamis depan dan pada hari itu, korban ditunaikan dengan menyembelih lembu atau kambing.

EZY