Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Enam Ordinan Darurat dibatal kuat kuasa 21 Julai

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pelanjutan darurat, yang dijadual tamat pada 1 Ogos ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa.

“Saya ingin sahkan hari ini, dan saya tertakluk (pada peraturan) kalau saya bercakap tidak benar, bahawa kerajaan Persekutuaan memutuskan untuk tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baharu apabila (ia) tamat pada 1 Ogos nanti.

“Kerajaan juga telah buat keputusan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembangaan Persekutuan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat yang telah dibuat semasa proklamasi darurat, maka isu ungkai atau annulment tidak lagi relevan… enam ordinan direvoke (batal) berkuat kuasa 21 Julai 2021,” katanya tanpa menyatakan enam ordinan terlibat.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai hala tuju mesyuarat khas Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini.

Terdahulu, sebelum penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula, Anwar mempersoal keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menolak usulnya yang memohon agar Parlimen membolehkan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinannya serta hal berkaitan pandemik, vaksinasi, perbelanjaan dan PPN dibahaskan.

Anwar turut mempersoal jaminan kerajaan sama ada darurat akan ditamatkan mengikut tarikh yang ditetapkan atau dilanjutkan.

Pengumuman pemansuhan enam ordinan itu mencetuskan situasi tegang apabila beberapa Ahli Parlimen daripada blok pembangkang, antaranya Lim Guang Eng (PH-Bagan) dan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) mempersoalkan keputusan berkenaan.

Gobind berkata pemansuhan itu sepatutnya dibawa ke Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 150 Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Proklamasi Darurat atau apa-apa ordinan yang dimasyurkan hendaklah dibentang kepada kedua-dua Majlis.

-BERNAMA