Categories
ADN SELANGOR

PKPD: Selain makanan, ADN sedia khidmat kaunseling bantu penduduk

SHAH ALAM, 2 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer tidak hanya menumpukan pemberian bantuan makanan untuk penduduk terkesan sebaliknya juga menyediakan perkhidmatan kaunseling.

Wakil rakyatnya berkata inisiatif secara dalam talian itu dijalankan sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok bagi memberi sokongan psikologi selain membincangkan masalah dihadapi masyarakat berkaitan Covid-19.

“Biro pendidikan pusat khidmat masyarakat (PKM) sudah diarahkan merangka modul bersesuaian, jadi sesiapa memerlukan khidmatnya boleh berhubung dan mereka akan diberi nasihat atau tazkirah sepanjang sesi berkenaan.

“Kita faham Covid-19 memberi kesan buruk namun saya minta mereka jangan sesekali tanggung masalah itu sendiri sehingga akhirnya mengambil jalan singkat seperti membunuh diri,” kata Mohd Sany Hamzan ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan edaran makanan asas seperti beras, gula, tepung gandum, sardin dan bihun kepada penduduk bermula selewat-lewatnya Ahad ini selepas maklumat penerima diperoleh selain memohon kebenaran polis bagi tujuan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan meminta masyarakat berhubung terus dengan PKM sekiranya berdepan masalah dan tidak sesekali mengambil keputusan sendiri yang boleh mengancam nyawa.

“Hari ini kita nampak seperti tiada jalan penyelesaian tetapi esok mungkin ada. Mereka hanya perlu bersabar dan jangan putus asa, paling penting jangan pendam masalah seorang diri.

“Kita sentiasa ada untuk membantu selain ahli keluarga dan kenalan. Orang ramai diminta mengambil berat keadaan jiran serta pastikan semua dalam keadaan baik sepanjang PKPD,” kata Elizabeth Wong.

Beliau juga berkata permohonan bantuan makanan boleh dibuat dengan menghubungi talian khas 011-69557909 atau [email protected] termasuk melalui 20 sukarelawan dipertanggungjawab menguruskan perkara tersebut.

“Bantuan makanan bernilai antara RM80 hingga RM100 setiap pek boleh dimohon sama ada golongan berpendapatan rendah (B40) mahupun berpendapatan sederhana (M40) kerana kita menyedari kesusahan mereka ketika ini,” katanya.

Bagi wakil rakyat Dusun Tua, beliau berkata dua cawangan baharu pusat bank makanan diwujudkan masing-masing di Kampung Melaka dan Kampung Padang, Hulu Langat bagi memudahkan penduduk mendapatkan keperluan asas.

Menurut Edry Faizal Eddy Yusof, pusat terbabit yang beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang mampu membekalkan 100 pek makanan.

“Kita mahu capaian bekalan makanan itu lebih dekat kerana amat memahami cabaran besar dilalui penduduk dalam tempoh PKPD, jadi mereka yang terdesak boleh mengambil bantuan tersebut,” katanya.