Categories
ADN SELANGOR

Teliti permohonan beri bantuan tunai kepada penduduk Pandan Indah

AMPANG, 28 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah sedang meneliti permohonan bantuan tunai kepada penduduk memerlukan dan hadapi masalah kewangan.

Ir Izham Hashim berkata bantuan bergantung kepada kelulusan Kerajaan Negeri untuk membenarkan penggunaan peruntukan projek berskala kecil bagi inisiatif tersebut.

“Justeru, selepas mengambil kira aduan penduduk yang mana majoriti terjejas daripada segi kewangan. Kita akan meneliti untuk beri bantuan itu kepada yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program sumbangan makanan asas kepada penduduk Pangsapuri Merpati A yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini, semalam.

Sementara itu Ir Izham memaklumkan sebanyak 6,000 bakul makanan hasil sumbangan pusat khidmatnya, agensi dan orang perseorangan telah diedar kepada penduduk DUN tersebut sejak awal tahun ini.

Selain itu, pihaknya turut mengagihkan 40 unit tablet dan 60 komputer riba kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) secara berperingkat bermula Ogos depan.

“Insya-Allah inisiatif ini sentiasa berterusan demi meringankan beban penduduk ketika pandemik Covid-19 disamping membantu pelajar menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya.