SHAH ALAM, 23 JULAI: Melihat kepayahan warga emas mengayuh basikal sambil membawa barangan bantuan, memberi idea kepada Ahli Dewan Negeri Banting memperkenalkan bank makanan bergerak.
Lau Weng San berkata ramai golongan memerlukan termasuk orang tua di kawasan diwakilinya itu tidak mempunyai kereta untuk membawa balik bantuan di premis bank makanan statik.
Menurutnya mereka tidak mempunyai pilihan kerana sudah terputus bekalan makanan.
“Bayangkan betapa sukarnya seorang warga emas hendak membawa balik beras yang berat menggunakan basikal, saya pernah melihat ini semua.
“Jadi pusat khidmat saya dengan kerjasama ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat ambil inisiatif mewujudkan bank makanan bergerak sejak 10 Julai lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Weng San berkata setakat ini pihaknya sudah menjelajah ke enam kawasan perumahan yang dikenal pasti mempunyai ramai golongan memerlukan.
“Van kami akan bergerak dua kali seminggu dengan membawa barangan keperluan asas antaranya beras, bihun, gula dan minyak selain alat tulis untuk diagihkan.
“Menerusi pendekatan ini mereka tidak lagi perlu berjalan jauh untuk mengambil bantuan,” katanya yang menggunakan peruntukan bakul makanan serta sumbangan ramai bagi menjalankan inisiatif itu.