Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

3,600 dos vaksin tanpa janji temu diberi di IDCC sejak Isnin

SHAH ALAM, 7 OGOS: Sebanyak 3,600 dos vaksin diberikan kepada penerima tanpa janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam sejak Isnin lalu.

Ketua Penyelaras Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) PPV IDCC berkata sebanyak 600 dos diperuntuk setiap hari untuk penerima.

Ketua Penyelaras CITF PPC IDCC, Adi Faizal Ahmad Tarmizi

“Sebanyak 18 kaunter pendaftaran dibuka sejak pemberian vaksin diberikan secara terus dibuka. Malah kita juga menambah petugas dan sukarelawan bagi melancarkan pemberian vaksin.

“Walaupun kini pemberian vaksin secara terus dibuka untuk individu berusia 18 tahun ke atas kita tetap menerima jika terdapat warga emas hadir,” kata Adi Faizal Ahmad Tarmizi ketika ditemui.

Beliau berkata pihaknya juga memberi kad jaminan kepada penerima yang hadir tetapi tidak mendapat suntikan kerana kehabisan bekalan vaksin.

“Mereka boleh hadir keesokan harinya dan diberi kemudahan untuk menerima suntikan tanpa perlu beratur,” katanya.

Pada 1 Ogos, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 memaklumkan sembilan PPV dipilih untuk memberi suntikan tanpa janji temu kepada penduduk Lembang Klang.

PPV berkenaan termasuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (HCO F, G dan H), Pusat Konvensyen Bangi Avenue, Hotel Wyndham Klang dan Dewan Tun Razak Sabak Bernam.

Turut dibenarkan ialah Dewan Komuniti Serendah, Hotel Movenpick & Pusat Konvensyen KLIA Sepang dan IDCC Shah Alam.

Individu berusia 40 tahun ke atas atau golongan komorbid boleh mendapat suntikan antara 2 hingga 4 Ogos manakala giliran bagi individu berusia 18 tahun ke atas antara 5 hingga 22 Ogos.