Categories
AGENDA NASIONAL

Agong titah PRU bukan pilihan, 79 peratus kawasan DUN zon merah

SHAH ALAM, 16 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pilihan raya umum Ke-15 (PRU-15) buat masa ini bukan pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Baginda memberi hemat demikian selepas menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh pada sesi menghadap di Istana Negara, hari ini.

“Pengerusi SPR memaklumkan bahawa sehingga 10 Ogos, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar kemelut politik dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik Covid-19.

“Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.