Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Esok boleh makan di restoran, bersukan, ke pasar malam di negeri fasa satu

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan membenarkan individu lengkap dua dos menikmati kemudahan makan di restoran, bersukan dan pergi ke pasar malam di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan tersebut di Facebook hari ini sebagai tambahan kelonggaran yang diperkenal pada Isnin lalu di negeri yang lengkap 50 peratus dos kedua.

“Kesemua kemudahan yang saya umumkan hari ini akan mula berkuat kuasa pada Jumaat, 20 Ogos. Perincian bagi kemudahan-kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat,” katanya.

Berikut syarat untuk kemudahan tersebut:

Makan di restoran

  • Pengusaha restoran mesti sediakan lebih banyak ruang makan di luar premis bagi pengudaraan lebih baik
  • Pemilik premis perlu pastikan pelanggan menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19
  • Ibu bapa yang bawa anak-anak berusia 17 tahun ke bawah mesti pastikan mereka patuhi SOP

Sukan dan rekreasi

  • Hanya acara tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan dibenarkan
  • Joging, senaman, taichi, berbasikal, papan selaju, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (perseorangan), badminton (perseorangan), golf, permotoran dan seumpamanya dibenarkan
  • Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis rumah kelab dilarang
  • Hanya di kawasan terbuka (outdoor) dan separa terbuka mulai jam 6 pagi hingga 10 malam
  • Perkelahan dan perkhemahan dibenarkan dengan penyertaan anak-anak berusia 17 tahun ke bawah

Pasar malam dan pasar minggu

  • Penguat kuasa dan pemilik premis perlu pastikan pelanggan menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19

Mengikut takrif kerajaan, seseorang dianggap lengkap dua dos selepas 14 hari mendapat suntikan kedua vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, atau 28 hari suntikan kedua Johnson & Johnson dan Camsino.

Untuk menikmati kemudahan tersebut, mereka harus menunjukkan bukti penerimaan dua dos melalui sijil digital vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera